LUCERO (tengah) jaring dua gol pada perlawanan semalam.
LUCERO (tengah) jaring dua gol pada perlawanan semalam.
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Berstatus selaku pasukan pilihan, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) tidak berdepan masalah layak ke separuh akhir Piala FA selepas mudah menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 5-2 di Stadium Larkin, malam tadi.

Selepas menang 1-0 pada suku akhir, skuad bimbingan Mario Gomez mempamerkan aksi konsisten untuk memastikan langkah ke saingan seterusnya tidak terhalang apabila layak dengan agregat 6-2 dan akan menentang Kedah pada aksi separuh akhir nanti.

Di awal babak pertama, skuad Harimau Selatan sudah mula menguasai perlawanan dan hampir mengundang cemas benteng pertahanan skuad kendalian Fauzi Pilus pada minit ketujuh selepas Marcos Antonio menanduk bola tepat namun penjaga gol, Haziq Nadzil menangkap kemas.

Sebaik aksi memasuki minit ke-15, gol dinanti tuan rumah akhirnya terlerai selepas bola sepakan sudut kapten Safiq Rahim menyaksikan Amirul Hadi Zainal sempat menolak ke belakang sebelum disudahkan Jorge Diaz dengan menanduk ke jaring.

Bagaikan terkejut dengan gol awal itu, pelawat tampak berusaha untuk memburu gol penyamaan namun dihampakan sepakan percuma Ahmad Nizam Rodzi pada minit ke-22 apabila bola sekadar melencong tinggi dan langsung tidak mendatangkan bahaya di kubu tuan rumah.

Diaz yang dipilih Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM) nyata berada dalam kelas tersendiri apabila meledakkan rembatan kencang untuk meletak tuan rumah selesa dengan jaringan 2-0 selepas menerima umpanan cantik dari Juan Lucero.

Ketika aksi berbaki lima untuk ditamatkan, tindakan Mohd Haziq menjatuhkan Lucero dalam kotak penalti menyaksikan pengadil perlawanan, Zulkifli Ahmad menghadiahkan sepakan penalti dan Safiq mudah mencipta jaringan untuk kedudukan selesa 3-0.

Skuad kendalian Fauzi Pilus terus dihukum selang dua minit kemudian apabila Azinee Taib mencetak nama sebagai penjaring selepas bijak melencongkan bola bagi memerangkap Haziq sebelum aksi babak pertama berakhir.

Bersambung babak kedua, pelawat tampak bermula garang dan pantas mengambil kesempatan untuk mencipta jaringan pada minit ke-49 selepas sepakan deras Ali Ashfaq di luar kotak penalti gagal ditangkap kemas penjaga gol, Farizal Marlias yang menyaksikan Andre Williams sekadar menolak mudah ke gawang terbuka.

Gol yang dihasilkan pelawat menaikkan semangat pasukan itu apabila sepakan percuma Ahmad Nizam dari jarak 20 meter tepat menerjah jaring untuk menjadikan kedudukan 2-4.

Namun sisa perjuangan skuad The Cops disekat tuan rumah pada minit ke-66 selepas Lucero yang menerima umpanan Safiq melepasi perangkap ofsaid sebelum merembat leret untuk memastikan kemenangan Johor DT.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:06 AM