Rudy Imran Shamsudin


Ada mengatakan hidup seorang pengkarya sepi tanpa teman dan sering sahaja berasa kosong. Mungkin apa yang dimaksudkan ialah menerusi kesepian seorang pengkarya berasakan ‘kesengsaraannya’ dan karya terhasil dalam situasi terbabit lebih mendalam perasaannya dan menarik.

Bagaimana dengan penyanyi Aizat Amdan, 27, sesuaikah kata-kata sebegitu menggambarkannya? Berbicara mengenai soal ini, penyanyi yang mula dikenali melalui lagu Hanya Kau Yang Mampu bersetuju dengan kata-kata itu.

Bagaimanapun, tegasnya, seorang pengkarya tidak harus menunggu untuk rasa ‘sakit’ muncul dalam diri kemudian baru hendak menghasilkan karya yang baik.

“Tidak semestinya dalam keadaan sunyi dan sepi seorang artis atau pengkarya itu mahu berkarya. Kadangkala seorang pengkarya itu harus bijak menangani situasi,” katanya.

Perkara ini dibincangkan Aizat atau Muhammad Aizat Amdan bersama Selebriti apabila berbicara soal dirinya yang masih sendiri dan tidak punya teman istimewa.

Kata Aizat, dia memegang kata temannya sebelum ini iaitu dalam hidup seorang manusia mungkin akan bercinta sekali dalam seumur hidup.

Seperti yang diketahui umum, sepanjang membabitkan diri sebagai penyanyi hanya sekali Aizat dikaitkan punya hubungan cinta dengan pelakon juga penyanyi, Liyana Jasmay. Selepas itu, Aizat tidak pernah dikaitkan dengan mana-mana wanita.

Ketika umur mencecah 27 tahun, Aizat menjelaskan dia masih belum bertemu wanita yang berjaya memenangi hatinya. Katanya, setakat berkawan biasa itu adalah juga tetapi yang serius dalam hubungan, tidak ada.

“Saya sendiri secara jujur tidak pernah memikirkan mengenainya. Memanglah kadangkala terasa sunyi apabila tidak ada teman wanita terutama apabila ada rakan sebaya sudah mula mempunyai seseorang yang istimewa dalam hidup mereka dan merancang untuk bertunang mahupun bernikah.

“Begitupun, kesibukan dengan kerja di studio seperti mencipta dan penerbitan lagu terbaru di samping menguruskan perniagaan Restoran Kari Gegar yang baru diusahakan membuatkan masa banyak terisi dan membuatkan saya tidak terlalu memikirkan soal cinta,” katanya.

Selepas menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27) menerusi lagu Terukir Di Bintang ciptaan Yuna, Aizat dilihat menyepi kebelakangan ini. Kini dia tampil dengan single terbaru, Bagai Hidup Semula.

Aizat juga dicalonkan pada Anugerah Bintang Popular BH 29 (ABPBH29) kategori Penyanyi Lelaki Popular bersama Asfan, Hazama, Ir Radzi dan Syed Shamim.

Katanya, dia berasa sangat berbesar hati turut dicalonkan peminatnya kerana sedar dirinya sepi daripada promosi akhir-akhir ini.

“Memang saya dilihat tidak menonjol tetapi terima kasih kepada peminat yang masih percayakan bakat saya sehingga dicalonkan dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular.

“Hendak diikutkan, ada rakan penyanyi seangkatan lebih aktif terutama mereka yang menjayakan program realiti tidak tersenarai. Melihat daripada sokongan ditunjukkan peminat dengan menghantar undian membuatkan saya berasa terharu,” katanya.

Aizat akui bahawa populariti penting kepada penyanyi sepertinya untuk memastikan kelangsungan kerjaya. Namun demikian, katanya, kita tidak seharusnya menjadikan ia sebagai satu kepentingan.

“Saya sendiri tidak terlalu mengejar populariti. Apa yang penting dalam meneladani kerjaya seni, harus ada keseimbangan. Bimbang juga nanti kalau terlalu mengejar populariti seorang artis itu hilang privasi.

“Begitupun, sepanjang saya bergelar penyanyi dan mengecapi pelbagai kejayaan dan populariti, satu perkara yang saya sedar. Peminat di sini tidak pernah bersikap keterlaluan. Malah mereka sangat menghormati kehidupan privasi seseorang artis itu dan tidak pernah mencerobohnya.

“Cuma kalau di laman sosial, sebenarnya pecah masuk dalam kehidupan peribadi timbul apabila artis itu sendiri tidak berwaspada dengan apa yang dimuat naik. Apabila gambar atau kenyataan ditayangkan kepada umum menjadi isu, mereka mula menuding jari kepada pihak lain sedangkan perkara itu datang daripada mereka sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:03 AM