Dang Setia

Saya pemuda berusia 25 tahun meminati seorang gadis. Dia rakan sekerja saya dan kami mempunyai hubungan baik kerana satu jabatan.

Sikapnya mudah mesra menyebabkan saya selesa. Sebenarnya saya pemalu dan jenis tidak selesa dengan wanita. Saya tiada pengalaman bercinta sejak zaman sekolah lagi. Apabila berkawan dengannya, saya selesa serta gembira.

Dia membuat saya senang hati setiap kali bersamanya. Saya rasa dia sesuai menjadi pasangan saya. Masalahnya saya tertekan dan tidak tahu bagaimana berterus-terang dengan gadis itu. Menambah rasa gusar, rakan saya turut meminati gadis sama.

AIMAN, Subang Jaya, Selangor

‘Jangan tunggu lama-lama nanti diambil orang.’ Dang Setia rasa saudara pernah dengar rangkap lagu popular berkenaan. Usahlah bertangguh dan menyerah kerana tiada pengakhiran jelas selagi saudara tidak mencuba. Pada Dang Setia lebih baik saudara berterus terang.

Manalah tahu saudara tidak bertepuk sebelah tangan. Sebagai rakannya sendiri, saudara sudah lama bergaul dengan gadis berkenaan tentu saja tahu kaedah meluahkan hasrat hati itu.

Jangan terus menunggu, bertindak secepat mungkin dalam situasi saudara sedar ada pesaing. Sebaiknya jadikan itu dorongan untuk saudara lebih giatkan usaha dan tidak hanya duduk dan menggigit jari.

Jika masih ragu-ragu , saudara boleh cari pendekatan lebih baik contohnya gunakan platform lain seperti media sosial. Namun begitu bersemuka pilihan paling baik kerana itu menunjukkan keikhlasan serta kesungguhan saudara untuk menjadikan dia sebagai pasangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 2:41 AM