Oleh Dang Setia

Ibu saya adalah ibu angkat dan menjaga saya sejak kecil. Kami tiada hubungan darah dan kini ibu saya sakit. Kakak angkat saya sudah berkahwin dan tinggal jauh daripada saya serta ibu angkat.

Kini saya memikul tugas menjaga ibu sepenuhnya. Daripada makan hinggakan mandi mahupun bantu solat, semuanya saya menguruskannya. Biarpun kami hanya ibu serta anak angkat, saya berasa bertanggungjawab menjaganya.

Cuma saya simpati situasi seperti aurat ibu tidak terjaga ketika saya menguruskan dia. Jika harap pada kakak, kakak mempunyai keluarga yang perlu diuruskan. Adakah satu kesalahan menjaga ibu angkat kalau tiada hubungan darah atas kekangan aurat?

AFWAN

Arau, Perlis

Sukar sebenarnya untuk membuat penilaian berkaitan haram halal dalam situasi saudara ini. Jika membabitkan hal agama, dapatkan penjelasan daripada pakar. Namun secara peribadi, Dang Setia berasa tidak salah selagi saudara ikhlas dan tahu batas tertentu.

Malah, dalam hal ini boleh dikatakan darurat kerana kakak yang tinggal jauh terpaksa menguruskan keluarganya. Hanya tinggal saudara yang mampu melaksanakan tanggungjawab itu. Mengenai aurat, saudara boleh cuba sedaya upaya menjaga kehormatan ibu.

Contohnya, beralas dan dapatkan kebenaran ibu angkat setiap kali ingin melakukan sesuatu di luar kawalan batas aurat. Saudara cuba melaksanakan tanggungjawab sebagai anak yang pernah dijaga ibu angkat. Jika Dang Setia berada dalam situasi berkenaan, tentu akan melakukan perkara sama dengan niat ikhlas tanpa perlu rasa ragu.

Usah rasa bersalah, sebaliknya cuba sedaya upaya membantu ibu angkat yang selama ini menjaga saudara. Insya-Allah, saudara beroleh keberkatan dengan akhlak murni berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:03 AM