Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Kilang kayu di Jalan Kubur Cina, Taman Muhibbah, Ulu Tiram di sini, musnah dalam kebakaran petang ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.15 petang itu, kilang berstruktur separuh kekal termasuk kontena dan zink itu terbakar keseluruhannya.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Mohamad Anuar Mohamad Amdzah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.33 petang.

Katanya, tujuh anggora dengan satu jentera ke lokasi kebakaran.

“Setibanya di lokasi, kebakaran sudah memusnahkan keseluruhan kilang dan struktur bangunan juga sudah tidak dapat dilihat.

"Dalam operasi ini, kita terpaksa mendapatkan bantuan BBP Tebrau dan BBP Pasir Gudang membabitkan dua jentera serta 12 anggota sebelum kebakaran dapat dikawal kira-kira 20 minit kemudian," katanya.

Beliau berkata, anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 7:19 PM