KILANG besi di Jalan Gombak, Batu 4 1/2 musnah dalam kebakaran. FOTO NSTP
KILANG besi di Jalan Gombak, Batu 4 1/2 musnah dalam kebakaran. FOTO NSTP
Hidayatul Akmal Ahmad


KILANG menghasilkan besi musnah dalam kebakaran di Jalan Gombak Batu 4 1/2 di Kuala Lumpur, malam ini.

Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak serta lima lagi jentera dari BBP Wangsa Maju, BBP Jinjang, BBP Hang Tuah, BBP Gombak dan BBP Sentul, bersama 48 anggota dan pegawai kanan bergegas ke lokasi kejadian.

Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fairuz Mad Shah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran itu pada 8.21 malam.

“Setibanya di sana, berlaku kebakaran membabitkan kilang besi yang berkeluasan kira-kira 5,600 kaki persegi (520 meter persegi).

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan api dapat dipadam sepenuhnya pada 9.10 malam,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, kebakaran membabitkan 80 peratus daripada kawasan kilang itu.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan bahagian forensik kebakaran sudah berada di lokasi kejadian,” katanya.

From: Hidayatul akmal

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 12:38 AM