Anggota bomba memeriksa bahagian kilang memproses parit longkang di Kampung Padang Kunyit, Bukit Pinang yang musnah dalam kebakaran. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Anggota bomba memeriksa bahagian kilang memproses parit longkang di Kampung Padang Kunyit, Bukit Pinang yang musnah dalam kebakaran. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkifffli


KILANG memproses konkrit parit dan longkang di Kampung Padang Kunyit, Bukit Pinang, Alor Setar, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, kilang terbabit musnah 80 peratus berikutan api marak dengan pantas.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Pegawai Bomba Kanan I Ahmad Huzaini Halil berkata, pihaknya menerima panggilan 4.40 petang dan sepasukan anggota bersama sebuah jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

Menurutnya, operasi turut dibantu dua pasukan dari BBP Jitra dan Pokok Sena membabitkan 18 anggota.

“Kami turut dibantu empat Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Sungai Korok, Tanah Merah, Pokok Sena dan Air Hitam.

“Setibanya di lokasi kejadian didapati api merebak di bahagian tengah kilang berkenaan, namun berjaya dikawal kira-kira lima minit sebaik anggota kami menjalankan operasi,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran, hari ini.

Ahmad Huzaini berkata, tiada mangsa dalam kilang itu ketika kejadian berlaku, manakala punca kebakaran dan kerugian dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 7:28 PM