FOTO ihsan bomba
FOTO ihsan bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein


KEPANTASAN anggota bomba memadam kebakaran sebuah kilang basikal di Kawasan Perindustrian Tampoi, Johor Bahru, berjaya menyelamatkan dua lagi kilang berhampiran daripada musnah dalam kebakaran, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12.50 tengah malam itu, kilang yang terletak di Jalan Kempas 5/5, Kawasan Perindustrian Tampoi itu terbakar sebelum enam jentera termasuk ambulans pasukan EMRS dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di daerah ini diarah ke lokasi kejadian.

Ketua BBP Johor Bahru, Suhaimi Jamal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.58 tengah malam sebelum bergegas ke lokasi dengan mendapatkan bantuan jentera dari BBP yang lain termasuk BBP Tebrau dan BBP Johor Jaya.

"Semua jentera serta anggota tiba dalam masa enam minit selepas menerima panggilan kecemasan dan kecekapan serta kepantasan semua 31 anggota dari BBP Johor Bahru, Tebrau serta Johor Jaya berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke dua kilang berhampiran.

"Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada 1.22 pagi dan tiada kecederaan serta kemalangan jiwa dilaporkan.

"Punca dan anggaran kerugian juga masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 10:54 AM