KEADAAN kebakaran yang membabitkan dua unit rumah dekat Flat Stulang Laut, Jalan Sri Stulang, Johor Bahru. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kebakaran yang membabitkan dua unit rumah dekat Flat Stulang Laut, Jalan Sri Stulang, Johor Bahru. FOTO Ihsan Bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein


SERAMAI 10 penghuni di dua unit rumah dekat Flat Stulang Laut di Jalan Sri Stulang, Johor Bahru, berjaya menyelamatkan diri selepas kedua-dua kediaman itu terbakar, hari ini.

Dalam kejadian 7.15 pagi itu, kedua-dua rumah berkenaan terbakar 10 peratus di bahagian hadapan rumah, namun api berjaya dikawal sebelum dibantu pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohd Rafie Ahmad Sareng berkata, sebanyak tiga jentera dan sebuah EMRS bergegas ke lokasi kejadian dengan turut dibantu sebuah jentera dari BBP Tebrau.

Katanya, seramai 27 anggota keseluruhannya diarahkan ke lokasi sebaik pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 7.16 pagi.

“Setibanya anggota di lokasi kejadian, didapati berlaku kebakaran pada dua unit rumah di tingkat empat sebuah blok di flat berkenaan.

“Kebakaran hanya membabitkan bahagian hadapan rumah. Kebakaran berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian terdapat tiga penghuni di sebuah rumah, manakala tujuh lagi di sebuah lagi rumah terletak bersebelahannya.

Bagaimanapun katanya, semua penghuni dapat menyelamatkan diri dan tiada mangsa yang terbabit dalam kebakaran.

“Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Operasi kemudian ditamatkan pada 8.11 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 10:30 AM