Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan merampas lebih 11,000 kilogram minyak masak bernilai RM27,540 dalam serbuan di Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang, jam 11 pagi semalam.

Pengarahnya, Datuk Abd Ghani Harun berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang juga pemilik stor menyimpan minyak masak.

Katanya, minyak masak berkenaan disimpan di stor sebelum dijual kepada peniaga di negara Thailand.

"Minyak masak dijual dengan harga RM3.50 hingga RM4.50 sekilogram berbanding negara kita RM2.50.

"Keuntungan yang tinggi mendorong aktiviti penyeludupan dan ia bergiat aktif di musim kemarau ini," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta dan penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 1:38 PM