Penguat kuasa menunjukkan kenderaan dan minyak masak yang dirampas di Simanggang, semalam. FOTO Ihsan KPDNHEP.
Penguat kuasa menunjukkan kenderaan dan minyak masak yang dirampas di Simanggang, semalam. FOTO Ihsan KPDNHEP.
Joshua Eric


Simanggang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggagalkan cubaan seorang lelaki untuk menyeleweng minyak masak bersubsidi di Jalan Market di sini, semalam.

Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Sri Aman, Al Redzamani Abdul Razak berkata, pihaknya mengesan pacuan empat roda jenis Hilux dipandu suspek berusia 28 tahun dalam keadaan mencurigakan serta mengekorinya hingga ke belakang premis di laluan berkenaan.

"Sebaik suspek keluar daripada kenderaan, pasukan menghampirinya dan memperkenalkan diri. Kenderaannya diperiksa dan mendapati terdapat 50 kotak minyak masak peket berjumlah 850 kilogram.

"Minyak masak bersubsidi itu dalam proses untuk dibawa turun di stor kilang memproses kuetiau di lokasi berkenaan, namun suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pemilikan barang kawalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kegagalan suspek memperjelaskan pemilikan minyak masak itu menyebabkan kenderaannya disita dan minyak berkenaan dirampas.

Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pendakwaan akan dibuat di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Pindaan 2015) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 9:42 AM