AKSI Tze Liang dalam acara 10m papan anjal di Sukan SEA Ke-28 Singapura 2015.
AKSI Tze Liang dalam acara 10m papan anjal di Sukan SEA Ke-28 Singapura 2015.
Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Penerjun negara Ooi Tze Liang (gambar) muncul penerima ganjaran tertinggi RM50,000 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) selepas membawa pulang empat pingat emas dalam acara terjun di temasya Sukan SEA Singapura.

Tze Liang meraih emas dalam acara individu 3m papan anjal dan 10m platform selain 3m papan anjal seirama bersama Amsyar dan 10m platform seirama bergandingan Chew Yiwei.

Namun, kejayaan itu bagaimanapun gagal menarik minat penaja untuk membantunya meningkatkan prestasinya ke peringkat lebih tinggi.

Dia yang sedang memburu tempat melayakkan diri ke Sukan Olimpik buat pertama kali berkata, dengan kejayaan dirangkulnya selain berjaya menyumbangkan emas di Sukan Komanwel Tze Liang berharap ada pihak tampil menajanya ketika Malaysia menjadi tuan rumah dua tahun lagi.

“Saya gembira dengan kejayaan ini. Ini adalah hasil daripada kejayaan usaha keras saya selama ini, empat emas ini menyuntik semangat saya untuk terus berusaha menaikkan nama negara.

“Saya juga berharap ada pihak sudi menaja saya kerana dua tahun lagi kita akan menjadi tuan rumah dan pastinya saya akan terus berusaha melakarkan kejayaan demi negara,” katanya.

Tze Liang berkata, dia akan terus fokus untuk cuba menempatkan diri ke Olimpik dan kini dalam perancangan ke Kazan, Russia untuk beraksi di Kejohanan Dunia.

Selesa bergandingan bersama Ahmad Amsyar Azman dalam acara 3 meter papan anjal seirama bagaimanapun berkata, dia tidak boleh berpuas hati dengan apa yang dimiliki sekarang ini dan bertekad untuk terus memperbaiki terjunan agar lebih mantap dan berkualiti.

Empat tahun lalu di Myanmar Tze Liang sekadar membawa pulang tiga emas selepas sekadar membawa pulang perak dalam acara 10m platform.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 11:09 AM