TASIK Kawaguchiko ketika senja pada musim luruh berlatarbelakangkan Gunung Fujiyama menyajikan pemandangan yang amat mengasyikkan.
TASIK Kawaguchiko ketika senja pada musim luruh berlatarbelakangkan Gunung Fujiyama menyajikan pemandangan yang amat mengasyikkan.
Susunan Fairul Asmaini Mohd Pilus

Pasti ramai yang bersetuju Jepun antara negara yang perlu dilawati sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Daripada pemandangan indah empat musim, hamparan gunung yang sayup mata memandang dan kecanggihan peralatan teknologi terkini, negara matahari terbit itu mempunyai segalanya untuk pelancong.

Selain tarikan pelancongan moden, di Jepun juga terdapat 19 warisan dunia, 15 daripadanya warisan kebudayaan manakala empat lagi warisan alam semula jadi.

Dari bahagian utara di Hokkaido sehinggalah ke bahagian selatan di Okinawa, terdapat banyak warisan dunia kebudayaan yang bersejarah antaranya kuil lama dan istana.

TOKYO destinasi pelancongan yang menawarkan pelbagai tarikan.
TOKYO destinasi pelancongan yang menawarkan pelbagai tarikan.

Tokyo

Ibu kota negara matahari terbit ini adalah salah satu bandar raya terpadat di dunia.

Biarpun penduduk kota Tokyo melebihi 14 juta orang, ia adalah destinasi pelancongan yang selamat untuk dikunjungi.

Selain Tokyo Disneyland, Menara Tokyo dan Tokyo Skytree, antara lokasi pelancongan terkenal di Tokyo adalah sebuah tokong Meiji Shrine yang didedikasikan khas untuk Maharaja Meiji dan Maharani Shoken.

Ia terletak bersebelahan Harajuku Station dan sebaris dengan Yoyogi Park.

Tokong ini dibina pada 1920 dan pernah musnah pada era Perang Dunia Kedua.

Selain itu, jika anda penggemar barangan elektronik, komik atau anime, daerah Akihabara di Tokyo adalah tempatnya.

Andai datang bercuti bersama anak, jangan ketinggalan berkunjung ke Taman Ueno Park dan Zoo.

Zoo tertua di Jepun ini dibina pada 1882 dan menjadi tempat tinggal kepada lebih 3,000 ekor haiwan dan 400 jenis spesies yang berbeza.

Malah zoo itu terbahagi kepada beberapa bahagian yang berbeza iaitu Tiger Forest, Gorilla Woods, Petting Zoo, Small Mammal House, Reptile & Amphibian House dan juga Shinbazu Pond.

Jangan ketinggalan untuk mengunjungi Taman Shinjuku Gyoen National Garden yang besar dan terkenal di Tokyo. Taman ini sangat cantik terutama pada musim bunga sakura.

PANORAMA sekitar Istana Osaka begitu indah dan mempersonakan.
PANORAMA sekitar Istana Osaka begitu indah dan mempersonakan.

Osaka

Antara tarikan bandar kedua terbesar di Jepun itu ialah Istana Osaka yang juga adalah replika daripada istana asal yang dibina pada 1583 oleh Toyomi Hideyoshi.

Panorama sekitar Istana Osama begitu indah dan mempersonakan selain diserikan dengan pemandangan indah pokok sakura pada musim sejuk.

Jika mahu sesuatu yang lebih misteri, kunjungi Sakuya Lumina untuk menikmati keindahan kesan khas cahaya, bunyi dan dunia fantasi yang tidak dapat dibayangkan.

Selain itu, salah satu tempat menarik di Osaka yang meriah pada waktu malam adalah Dotonbori.

Cahaya neon yang terang menerangi segenap jalan yang dilalui di Dotonbori begitu cantik dan mempersonakan.

Sepanjang perjalanan juga penuh dengan kedai jualan pelbagai jenis barangan, makanan dan orang ramai yang lalu-lalang.

Menariknya, terdapat juga kedai makanan yang halal bagi pengunjung yang beragama Islam.

TOKONG Meiji Shrine yang didedikasikan khas untuk Maharaja Meiji dan Maharani Shoken.
TOKONG Meiji Shrine yang didedikasikan khas untuk Maharaja Meiji dan Maharani Shoken.

Kyoto

Bekas ibu kota Jepun ini terletak di pulau Honshu dan dianggap bandar spiritual kerana memiliki banyak kuil dan istana lama.

Antara lokasi menarik di Kyoto adalah Kuil Fushimi-Inari Taisha.

Di belakang kuil itu pengunjung boleh mendaki bukit dan melihat lebih daripada 5,000 gerbang torii oren yang didirikan.

Selain itu, Vila Imperial Katsura yang asalnya dibina pada 1624 untuk menyediakan penginapan kepada abang Maharaja Goyozei juga menarik untuk dikunjungi.

Di tengah-tengah vila adalah Goten, tempat pengunjung dapat melihat beranda Furu-shoin.

Seni binanya menjadi perhatian ramai dan ia juga antara taman bersejarah yang terkenal di Jepun.

Arashiyama Bamboo Grove juga antara lokasi yang digemari pelancong dari dalam dan luar Jepun.

Lembah yang luas memberi ilusi seolah-olah sedang berjalan melalui hutan.

Namun, jika teringin melihat lebih daripada sekadar kuil untuk melancong, pengunjung boleh melihat kehidupan sebenar dengan menginap di Eiheji, sebuah kuil yang masih berfungsi di utara Kyoto iaitu di wilayah Fukui.

TAMAN Memorial Keamanan Hiroshima bagi mengenang peristiwa pengeboman Hiroshima.
TAMAN Memorial Keamanan Hiroshima bagi mengenang peristiwa pengeboman Hiroshima.

Hiroshima

Pada 6 Ogos 1945, bom atom dilepaskan di Hiroshima, mengorbankan sekurang-kurangnya 140,000 nyawa dan memusnahkan seluruh bandar itu.

Kini, Hiroshima sudah jauh berubah dan membangun dengan pesat selain menjadi lokasi pelancongan utama Jepun.

Jika ke Hiroshima, pengunjung boleh melawat tarikan popular seperti Taman Memorial Keamanan Hiroshima dan Kubah Bom Atom serta menaiki metro di Stesen Kamiya-cho-higashi atau Stesen Tate-machi untuk menjelajah bandar itu dengan lebih jauh.

Selain itu, adalah rugi ke Hiroshima jika tidak berkunjung ke Pulau Miyajima.

Lebih dikenali sebagai The Island of Gods, pulau ini juga terkenal dengan kuil terapung dan Otorii.

Ia juga dianggap sebagai Pulau Dewa selain salah satu tapak Warisan Dunia.

TIDAK sah berkunjung ke Hokkaido tanpa mengunjungi Festival Salji Sapporo yang diadakan pada bulan Februari setiap tahun.
TIDAK sah berkunjung ke Hokkaido tanpa mengunjungi Festival Salji Sapporo yang diadakan pada bulan Februari setiap tahun.

Hokkaido

Tidak sah berkunjung ke Hokkaido tanpa mengunjungi Festival Salji Sapporo yang diadakan pada Februari setiap tahun.

Perjalanan jauh ke Hokkaido untuk melihat arca besar daripada salji juga berbaloi.

Selain itu, Hokkaido juga popular untuk peminat sukan papan luncur dan destinasi utama yang boleh dikunjungi ialah Resort Ski Niseko di Sapporo.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 7:00 AM