Pemain Sri Pahang FC, Herald Mark Goulon (dua kiri) diasak pemain Kedah, Kpah Sherman (kiri) dalam aksi Liga Super. FOTO Luqman Hakim Zubir
Pemain Sri Pahang FC, Herald Mark Goulon (dua kiri) diasak pemain Kedah, Kpah Sherman (kiri) dalam aksi Liga Super. FOTO Luqman Hakim Zubir
Izzali Ismail


Alor Setar: Misi meraih tiga mata di laman sendiri tercapai apabila Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meneruskan rentak kemenangannya dengan menewaskan Sri Pahang 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Dua gol oleh Baddrol Bakhtiar dan satu gol oleh Kpah Sherman berjaya meletakkan Kedah di tangga kedua Liga Super setakat ini.

Kedah mendapat peluang terbaik menerusi sepakan bebas oleh Rabih Ataya seawal minit ke-6 namun berjaya ditepis penjaga gawang Sri Pahang, Zarif Irfan.

Sri Pahang menerima tamparan mengejutkan apabila pemain import pertahanan Herold Goulon dilayangkan kad merah pada minit ke-16 kerana mengasari Kpah Sherman yang bergerak laju menghampiri kotak penalti sekali gus diberikan sepakan percuma buat Kedah.

Sepakan tersebut yang diambil Baddrol Bakhtiar bagaimana berjaya ditepis keluar penjaga gol Sri Pahang dan Kedah sekali lagi melakukan percubaan menerusi Rabih Ataya pada minit ke-21 yang hampir menghadiahkan gol tetapi percubaannya hanya melewati palang gol.

Serangan bertali arus dilakukan Kedah hingga berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-36 apabila kapten Kedah Baddrol Bakhtiar berjaya meledak gol melalui percubaan jarak jauh ke pintu gol Sri Pahang hasil gerakan Rabih Ataya dan Kipre Tchetche.

Jaringan pendahuluan itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila skuad Tok Gajah bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-41 menerusi Nur Izzat Che Awang yang menewaskan penjaga gol Kedah Shahril Sa'ari selepas menyempurnakan hantaran daripada Nor Azam Azih.

Seminit selepas babak kedua bermula, Kedah pula kembali memimpin perlawanan apabila Kpah Sherman menghadiahkan gol kedua selepas mendapat peluang jaringan melalui sepakan penalti selepas dia dijatuhkan pertahanan Sri Pahang, Faisal Rosli.

Pelawat yang beraksi dengan 10 pemain bagaimana gagal bertahan apabila Kedah melalui Baddrol Bakhtiar sekali lagi menambah jaringan ketiga pada minit ke-71 melalui tandukan kebelakangan berpunca sepakan sudut Faizat Ghazli.

Sri Pahang mendapat peluang keemasan di hujung perlawanan dengan sepakan penalti selepas Lee Tuck dikasari namun peluang itu gagal dimanfaatkan Lee Tuck apabila percubaannya berjaya ditepis oleh Shahril Sa'ari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 11:12 PM