Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid

Kota Kinabalu: Sabah Rhinos gagal meneruskan rentak kemenangan apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Selangor PKNS FC pada saingan Liga Perdana di Stadium Likas malam tadi.

Minit awal permainan, pelawat bermula garang dengan percubaan pertama menerusi sepakan Pedro Henrique Cortes pada minit ke-6 namun sepakannya terus ke dakapan penjaga gol Sabah, Mohd Fazli Paat.

Tuan rumah terus mengatur serangan ke kubu lawan dengan beberapa percubaan menarik menerusi pemain import baru Joel Chianese m-13 namun sepakannya tinggi melepasi palang gol.

Dua minit berselang, tuan rumah berjaya mendahului permainan dengan gol pertama hasil sepakan Eamon Zayed m-15 selepas menerima bola hasil hantaran lintang El-Hadji Diouf.

Sebaik aksi bersambung di babak kedua, Selangor PKNS FC mula mengatur serangan dengan melakukan beberapa percubaan namun berjaya dipatahkan pertahanan Sabah Rhinos.

Kehadiran penyokong tuan rumah melebihi 10,000 orang memberi semangat buat Sabah Rhinos untuk menambah jaringan menerusi percubaan Zuraindey Jumai m-53 namun tinggi melepasi gawang pelawat.

Usaha pasukan pelawat menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma hasil sepakan Cortes m-63 berjaya ditolak keluar penjaga gol Sabah Rhinos.

Namun akhirnya pelawat berjaya memperoleh gol penyamaan m-76 hasil jaringan Cortes selepas berlaku keadaan kelam kabut di kawasan kotak penalti tuan rumah.

Kemasukan Mohd Rozaimi Abd Rahman m-77 mengantikan Eamon Zayed gagal membantu pasukan menambah jaringan untuk mengutip tiga mata di gelanggang sendiri.

Sabah Rhinos kini menduduki tangga ketiga liga dengan mengumpul 13 mata dan akan menentang Pulau Pinang di Stadium Likas, 17 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:32 AM