KOLEKSI mesra menyusu dengan sentuhan terkini, anggun, patuh syariah.
KOLEKSI mesra menyusu dengan sentuhan terkini, anggun, patuh syariah.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Siapa kata wanita yang mempunyai bentuk tubuh kurang menarik tidak mampu bergaya persis model? Jika kena gayanya, pasti golongan ini mampu tampil menawan dan memukau mata memandang.

Justeru, tunik iaitu baju ringkas menggunakan fabrik bercorak atau polos pilihan bijak wanita yang mempunyai bentuk badan kurang sempurna.

Menyedari hakikat itu, Pengarah Pengurusan Q’manda Norita Nordin menghasilkan Haseena Tunic, sejenis tunik labuh yang mempunyai bukaan menyusu menjadi taruhan terbaru jenama terbabit bagi merealisasikan impian golongan ibu sekali gus menghapuskan mitos bahawa baju menyusu kuno dan tidak mengikut arus semasa.

Ditubuhkan pada April tahun lalu, Q’manda yang dahulunya dikenali sebagai Haus of Vendor ialah butik yang me­ngetengahkan tema fesyen buat Muslimah yang kurang keyakinan diri untuk berfesyen terutama dalam aktiviti penyusuan anak di tempat awam yang pernah suatu masa membangkitkan isu antara maruah dan hak.

Keterbatasan golongan ibu untuk menyusukan anak kesayangan di khalayak kini mampu diatasi dengan kolek­si mesra menyusu Q’manda seiring dengan sentuhan gaya Muslimah terkini, anggun dan juga patuh syariah.

Apabila menyebut me­ngenai fesyen Muslimah, pasti setiap orang menggambarkan jubah dan baju kurung. Hakikatnya, wanita boleh bergaya dengan pelbagai fesyen terkini asalkan penampilan itu tidak keterlaluan.

“Di Q’manda, kami mahu cipta kelainan iaitu berkonsep­kan busana kasual. Sama ada berhijab atau tidak, potongan yang direka dipastikan supaya longgar, tidak melekap dan mempunyai ciri khas seperti mesra wuduk dan mesra pe­nyusuan bayi.

“Istimewanya, tunik ini lengkap dengan gelung lengan yang bertindak sebagai sarung lengan untuk menutupi pergelangan tangan. Rekaan­nya lebih trendy dan sentuhan hujung pada labuh tunik akan menampakkan si pemakai kelihatan tinggi.

“Selain itu, penggunaan fabrik poly crepe yang berkualiti tinggi, tidak senang renyuk dan selesa bersesuaian dengan kehendak golongan wanita di Malaysia kerana ia tidak panas dan rimas tambahan lagi apabila bersama si kecil,” kata­nya.

Gabungan warna riang pastel dan musim bunga yang kini mendominasi tahun 2016 menjadi sumber inspirasi koleksi Haseena Tunic seperti peach, rose, coffee, green flash, steel dan bermacam lagi. Seiring dengan keadaan cuaca di Malaysia, koleksi ini juga menggunakan material yang mudah dicuci, cepat kering serta tidak mudah renyuk bagi kemudahan si pemakai.

Atas keinginan dan minat yang mendalam dalam bidang fesyen, Norita yang dulunya banyak terbabit dalam aktiviti karnival dan ekspo barangan bayi serta pakaian ibu menyusu kini meneruskan minatnya sehingga lahirlah Q’manda yang mengetengahkan fesyen Muslimah sesuai dengan semua peringkat umur terutama buat ibu menyusu.

Untuk maklumat lanjut, kunjungi Facebook Q’manda Clothing dan Instagram @qmanda_clothing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2016 @ 5:01 AM