SIFON selesa dipakai.
SIFON selesa dipakai.
TAMPIL ayu dengan tunik corak bunga.
TAMPIL ayu dengan tunik corak bunga.
KESUNGGUHAN suami isteri ini menjadi sumber inspirasi ramai.
KESUNGGUHAN suami isteri ini menjadi sumber inspirasi ramai.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Siapa kata wanita yang mempunyai bentuk tubuh kurang menarik tidak mampu bergaya persis model? Jika kena gayanya, pasti golongan ini mampu tampil menawan dan memukau mata yang memandang.

Justeru, tunik iaitu baju ringkas menggunakan fabrik bercorak atau polos adalah pilihan bijak wanita yang mempunyai bentuk badan kurang sempurna.

Menyedari hakikat itu, pemilik Butik ALMAS, Masliza Mohamad Redzuan, 35, dan suami Mohammad Alfian Yusop, 35, mahu wanita yang mempunyai bentuk tubuh yang kecil mahu pun besar menutup kekurangan sedia ada dengan pilihan tunik yang sesuai.

"Sebenarnya, gaya feminin terserlah dengan pemakaian tunik labuh daripada pelbagai potongan dan fabrik malah ia tampak ideal untuk wanita muda.

"Tunik juga sesuai dipakai wanita bertudung yang suka bergaya yang boleh digayakan dalam dua situasi berbeza iaitu formal atau sekadar bersantai," katanya.

Hampir 10 tahun melebarkan sayap perniagaan di Kuching, Sarawak, pasangan suami isteri ini memiliki enam cawangan butik ALMAS di negeri itu dan tumpuan mereka menawarkan pelbagai pilihan pakaian muslimah untuk golongan wanita.

Bagaimanapun, atas sambutan memberangsangkan peminat tunik, dia kini tampil menghasilkan rekaan sendiri dan mempelbagaikan rekaan yang lebih dramatik misalnya melalui pilihan fabrik renda dan sifon bercorak moden dilatari taburan manik.

Masliza berkata, idea rekaan tunik berdasarkan keselesaannya sendiri yang amat menggemari pakaian itu kerana tidak mengikut bentuk badan, sekali gus membantu menyembunyikan kekurangan dirinya.

Katanya, apa yang praktikal mengenai koleksi tunik adalah keselesaannya dan walaupun ia sudah lama digayakan, ia tetap digemari ramai sehingga kini.

Di bawah label The Tunic, Masliza berkata, tunik yang dihasilkan terdiri daripada tiga jenis iaitu pakaian pejabat, kasual dan formal dengan masing-masing menggunakan material berbeza.

Tunik untuk pakaian pejabat misalnya menggunakan fabrik kapas manakala fabrik kombinasi kapas kemeja-T kapas dikhususkan untuk gaya kasual. Bersesuaian dengan tema, bagi pakaian ke majlis tertentu tunik yang dihasilkan menggunakan fabrik sifon crepe dilatari sentuhan lebih berat seperti manik atau sulaman.

"Kita seboleh-bolehnya mahu menghasilkan rekaan yang ringkas dan minimalis. Sebelum menghasilkan koleksi ini kita sudah mengenal pasti rekaan mana yang digemari pelanggan selain ambil kira fabrik digunakan.

"Setakat ini kita dalam proses pengeluaran koleksi terbaru tunik menggunakan kain yang diimport dari beberapa negara termasuk India, China dan Indonesia," katanya.

Selain itu, corak atau material tunik yang dihasilkan akan dipastikan bersesuaian dengan bentuk badan pemakai kerana tidak semua corak sesuai digayakan setiap orang.

Menurutnya, koleksi tunik rekaannya akan mula dipasarkan sebelum Aidilfitri ini dan mereka bercadang menghasilkan lebih banyak koleksi rekaan sendiri pada masa akan datang.

"Setakat ini, kita menawarkan koleksi sedia dipakai yang diperoleh daripada pembekal eksklusif untuk butik ALMAS yang terletak di keenam-enam cawangan sekitar Sarawak," katanya.

Mengimbas pembabitan mereka dalam industri fesyen, walaupun kedua-dua pasangan ini berasal dari Semenanjung, mereka nekad membuka perniagaan jauh dari kampung halaman selepas meneroka peluang yang terbuka luas di bumi Kenyalang itu.

"Kami adalah graduan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan mula terbabit dalam industri ini ketika suami melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di universiti itu 10 tahun lalu.

"Disebabkan ketika itu suami belajar dan saya pula tidak bekerja, kami menjual pakaian di pasar malam, bazar dan pelbagai medium lain untuk mencari pendapatan. Lama kelamaan pakaian muslimah semakin mendapat tempat di sana hingga kami mampu membuka beberapa butik," katanya.

Oleh kerana bukan berlatar belakang bidang fesyen, Masliza mengakui fesyen baginya adalah mengenai kegembiraan dan kasih sayang yang mendorongnya berkongsi apa yang disukainya dan semakin bersemangat untuk menghasilkan lebih lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:03 AM