TUNIK labuh sesuai dipadankan dengan seluar, palazzo.
TUNIK labuh sesuai dipadankan dengan seluar, palazzo.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Melihat kepada gaya anak muda masa kini yang semakin gemar dengan penampilan sopan, butik Norell Collection, memperkenalkan koleksi tunik yang mampu membuatkan pemakainya kelihatan lebih manis bergaya.

Pemilik dan Pengurus di Norell Collection, Nor Ellysyafina Md Dali berkata, melihat kepada perkembangan fesyen terkini, dia menampilkan rekaan tunik labuh yang boleh disuai padan dan sedia untuk dipakai tidak kira majlis formal atau santai.

Katanya, koleksi itu juga boleh digayakan sebagai pakaian ke pejabat, kuliah atau fesyen harian, sesuai untuk semua golongan usia, sama ada wanita berhijab ataupun tidak.

“Saya membawakan konsep kasual, sopan dan bergaya khususnya kepada wanita yang ingin tampil selesa dan kelihatan anggun biarpun berhijab.

“Pada peringkat awal saya berhijab, saya agak sukar mencari baju labuh melepasi paras punggung, membuatkan saya menghasilkan rekaan ini kerana saya yakin ramai lagi wanita yang menghadapi masalah seperti saya.

“Rekaan tunik ini adalah inovasi daripada blaus biasa dengan labuhnya melepasi paras punggung. Terdapat zip pada bahagian dada yang sesuai untuk ibu yang masih menyusukan anak dan keunikannya sekali lagi dapat dilihat kepada poket sorok yang ada di kiri dan kanan tunik ini,” katanya.

Menggunakan fabrik crepe, tunik berkenaan lembut, sejuk, tidak jarang dan mudah kering, sesuai dengan keadaan cuaca di negara ini.

Pemilihan warna pula adalah lebih semula jadi dan kelihatan eksklusif, bagi memudahkan padanan dengan seluar, palazzo, tudung dan skirt labuh, untuk menghasilkan impak fesyen yang menarik.

Tidak sarat dengan sebarang perincian, tunik berkenaan membawa elemen minimalis dan mudah digayakan, sesuai untuk semua peringkat umur dan cita rasa.

Dijual pada harga RM69 sehelai, koleksi tunik ini boleh dilihat pada ruang Instagram/@norellcollection, bagi mereka yang mahu bergaya sopan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2015 @ 5:05 AM