Ali maklumkan kerajaan tidak akan membekukan pengambilan penjawat awam baharu. FOTO NSTP (Gambar fail)
Ali maklumkan kerajaan tidak akan membekukan pengambilan penjawat awam baharu. FOTO NSTP (Gambar fail)
Hayati Ibrahim

Putrajaya: Kerajaan tidak akan membekukan pengambilan penjawat awam baharu, sebaliknya seramai 25,000 orang tetap akan diambil setiap tahun bagi menggantikan mereka yang bersara.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, ia berikutan polisi kerajaan untuk mengekalkan saiz keseluruhan penjawat awam iaitu seramai 1.61 juta.

"Setiap tahun, seramai 25,000 penjawat awam akan diambil bagi menggantikan mereka yang bersara dan jumlah ini tidak akan dikurangkan.

"Bagaimanapun, jawatan baharu tidak akan diwujudkan, tetapi jika ada agensi baharu yang perlu ditubuhkan, penjawat awam sedia ada akan mengisi jawatan berkenaan," katanya pada sidang media selepas majlis penganugerahan Diploma Pengurusan Awam (DPA) dan Felo INTAN 2016 anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohammad Zabidi Zainal dan Pengarah INTAN Datuk Dr Mazlan Yusoff.

Seramai 789 graduan yang terdiri daripada kumpulan peserta kursus DPA dan Kursus Kadet Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) menerima pentauliahan DPA pada majlis berkenaan.

Pada majlis sama, Ali turut menyampaikan Anugerah Felo INTAN 2016 kepada bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob yang ke-27 berdasarkan kriteria kecemerlangan perkhidmatan, pembangunan modal insan dan jasa bakti dalam perkhidmatan awam.

Mengenai penangguhan kursus tujuh hari yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Ali berkata, walaupun tidak diwajibkan, namun beliau masih menggalakkan penjawat awam menghadiri kursus untuk menambah baik mutu perkhidmatan.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 3:45 PM