ALI Hamsa menyampaikan Anugerah Felo Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) 2016 kepada Sulaiman.
ALI Hamsa menyampaikan Anugerah Felo Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) 2016 kepada Sulaiman.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kerajaan tidak membekukan pengambilan penjawat awam baharu, sebaliknya seramai 25,000 tetap diambil setiap tahun bagi menggantikan mereka yang bersara, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Menurutnya, ia berikutan polisi kerajaan mengekalkan saiz keseluruhan penjawat awam iaitu 1.61 juta kerana saiz ini mencukupi bagi negara mempunyai penduduk hampir 30 juta.

Menjelas lanjut, beliau berkata, perjawatan baharu tidak dibenarkan adalah pengambilan mengisi kekosongan agensi baharu ditubuhkan.

“Penjawat awam pencen 25,000 setiap tahun diganti dengan 25,000 yang baru dari luar, macam pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) pun ada jawatan kosong kita ambil setiap kumpulan 300 pegawai, semua agensi ada pengambilan tetapi untuk mengisi kekosongan mereka yang pencen.

“Bagaimanapun, kita tidak mengadakan perjawatan baharu, ini bermakna jika ada keperluan terdesak menubuhkan agensi baharu, adalah menjadi tanggungjawab Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kementerian melantik kakitangan sedia ada sama ada dari kementerian sama atau lain.

“Mungkin ada tugas tertentu agensi lapuk atau kepentingannya berkurang dan mungkin patut kita tutup atau kurangkan pekerja dan mereka inilah kita perlu tempatkan ke perjawatan di agensi yang baharu diwujudkan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penganugerahan Diploma Pengurusan Awam (DPA) dan Felo INTAN 2016 anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakop; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohammad Zabidi Zainal dan Pengarah INTAN Datuk Dr Mazlan Yusoff.

Seramai 789 graduan terdiri daripada kumpulan peserta kursus DPA dan Kursus Kadet Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) menerima pentauliahan DPA pada majlis berkenaan.

Pada majlis sama, Ali turut menyampaikan Anugerah Felo INTAN 2016 kepada bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob yang ke-27 berdasarkan kriteria kecemerlangan perkhidmatan, pembangunan modal insan dan jasa bakti dalam perkhidmatan awam.

Felo INTAN adalah anugerah berprestij yang dinobatkan kepada tokoh perseorangan sebagai tanda penghormatan dan penghargaan atas sumbangan mereka kepada negara, terutama dalam memajukan pentadbiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 8:01 AM