AZIH (duduk, tengah) pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan CUEPACS Sarawak, semalam.
AZIH (duduk, tengah) pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan CUEPACS Sarawak, semalam.

Kuching: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) supaya membuka semula pembekuan pengambilan penjawat awam ketika ini.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata, ia bagi mengisi kekosongan jawatan antara 21,000 orang hingga 25,000 orang, terutama jawatan rendah dalam perkhidmatan awam.

Menurutnya, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa juga mengumumkan kerajaan akan mengambil pekerja baru bagi mengisi kekosongan jawatan itu, namun masih tiada tindakan diambil SPA.

“Jadi kami minta ada penyelarasan, bila arahan dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara sepatutnya tindakan diambil.

“Sampai sekarang tiada tindakan diambil, saya tidak nampak usaha diambil SPA untuk mengisi kekosongan jawatan yang ada (dalam perkhidmatan awam),” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan CUEPACS Sarawak di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi CUEPACS Sarawak Ahmad Malie dan Timbalan Setiausaha Agung CUEPACS Abdul Rahman Mohd Nordin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 6:46 AM