Kakitangan awam ketika perhimpunan bulanan di Putrajaya. - Foto Fail
Kakitangan awam ketika perhimpunan bulanan di Putrajaya. - Foto Fail
BERNAMA

Kuala Lumpur: Cadangan melanjutkan umur persaraan penjawat awam daripada 60 tahun kepada 62 tahun hanya membabitkan antara 1,200 dan 2,000 daripada kira-kira 25,000 penjawat awam yang bersara setiap tahun.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata, cadangan itu membabitkan antara lima dan lapan peratus bakal pesara saja, bukan semuanya.

“Kita tidak mahu kehilangan penjawat awam seperti profesor, pensyarah dan doktor pakar yang sudah mempunyai pengalaman cukup berguna kepada kerajaan dan negara," katanya pada majlis sambutan Aidilfitri Cuepacs di sini, hari ini.

Beliau berkata tidak semua penjawat awam dicadang dilanjutkan umur persaraan kerana mahu memberi peluang kepada golongan muda mengisi kekosongan jawatan di dalam sektor perkhidmatan awam.

Semalam, dalam temu bual program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel yang disiarkan secara langsung, Azih mencadangkan kerajaan mewujudkan satu dasar baharu untuk melanjutkan umur persaraan penjawat awam kepada 62 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 7:35 PM