ALI Hamsa ketika berucap di Malam Anugerah MAKSAK 2016. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ALI Hamsa ketika berucap di Malam Anugerah MAKSAK 2016. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Atlet penjawat awam yang bakal mewakili Malaysia pada Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 pada Ogos ini diharap dapat memperlihatkan semangat juang dan keazaman yang tinggi seterusnya menjulang nama negara.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, beliau juga mahu petugas dan sukarelawan penjawat awam yang bertugas pada kejohanan sukan itu menjadikan Kuala Lumpur 2017 sebagai satu temasya yang boleh dibanggakan negara.

Beliau berkata, atlet mahupun petugas sukarelawan adalah duta kecil negara dan mereka mempunyai peranan yang besar untuk memastikan temasya itu menjadi kenangan abadi buat semua.

"Saya pasti ramai antara penjawat awam Malaysia akan terbabit dalam pelbagai kapasiti ketika Kuala Lumpur 2017 sama ada sebagai atlet, jurulatih, pegawai pasukan, petugas atau sukarelawan.

"2017 bakal menjadi tahun yang istimewa dan bersejarah buat Malaysia di mana setelah 16 tahun, Malaysia kembali menjadi tuan rumah Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN selepas kali terakhir pada 2001," katanya ketika berucap menyempurnakan Malam Anugerah Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

Dalam pada itu, Ali yang juga Yang Dipertua MAKSAK berkata, 2016 menyaksikan MAKSAK terus memperkukuh peranannya dalam menganjurkan pelbagai acara sukan dan kesenian bagi penjawat awam dan masyarakat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menurutnya, ia dibuktikan melalui penganjuran 23 acara sukan dan kesenian sepanjang tahun dengan pembabitan lebih 25,000 peserta dan pegawai.

"Selepas kejayaan menganjurkan The 1st ASEAN Civil Service Games 2015, MAKSAK terus diberi kepercayaan dan peranan dalam menyokong program utama kerajaan di peringkat antarabangsa, antaranya penganjuran acara NBOS Run & Ride sempena International Conference on Blue Ocean Strategy 2016 yang menonjolkan kejayaan Malaysia melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

"MAKSAK turut mengorak langkah dalam kolaborasi dengan pihak swasta dimana buat pertama kalinya MAKSAK dan AirAsia bekerjasama dalam menganjurkan AirAsia WPUA Fun Run bagi mempromosi Kad Kesetiaan AirAsia Big dalam kalangan penjawat awam Malaysia," katanya.

Katanya, pencapaian berkenaan adalah bukti usaha dan komitmen MAKSAK dalam melaksanakan transformasi sejajar dengan keperluan dan persekitaran semasa sukan di Malaysia.

Selain itu, katanya, beliau juga amat berbangga melihat kejayaan dan pembabitan atlet perkhidmatan awam di kejohanan sukan antarabangsa justeru, mereka layak diberi ganjaran di bawah Skim Insentif Sukan MAKSAK yang mula diperkenalkan sejak 2012.

Katanya, insentif ini adalah bukti sokongan MAKSAK kepada atlet perkhidmatan awam dan sebagai satu bentuk motivasi bagi mereka untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam sukan masing-masing.

Ali berkata, MAKSAK sememangnya dalam kelasnya yang tersendiri dalam melahirkan generasi pentadbir, pegawai dan atlet yang berprestasi tinggi.

Katanya, beliau juga menyeru semua pihak untuk menjadikan inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) sebagai inspirasi dimana program-program yang dianjurkan MAKSAK hendaklah menarik, berimpak tinggi, dengan penggunaan sumber serta perbelanjaan yang optimum melalui kerjasama pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan, swasta atau badan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, dua atlet olahraga kebangsaan dari Majlis Sukan Angkatan Tentera Malaysia, Jackie Wong Siew Cheer dan Nurul Faezah Asma Mazlan masing-masing dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati MAKSAK Malaysia 2016.

Siew Cheer yang juga pemegang rekod kebangsaan dalam acara baling tukul besi dan Nurul Faezah, pelari 400 meter negaramasing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000 dan piala pusingan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 12:35 AM