Dr Mahathir> FOTO Arkib NSTP
Dr Mahathir> FOTO Arkib NSTP
Khairul Azran Hussin


TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan meneliti punca seramai 52 kakitangan kerajaan yang mengikuti kursus khas pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) digugurkan daripada program itu.

Perdana Menteri berkata, ia bagi memastikan tindakan itu bukan disebabkan langkah penjimatan kos yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

“Kita akan teliti perkara ini, kita tidak mahu sesiapa jadi mangsa dalam usaha kita untuk mengurangkan kos pentadbiran negara,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Kesatuan Pekerja-Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Bhd (UPUS) di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Pos Malaysia Bhd, Datuk Mohammad Zainal Shaari.

Beliau mengulas berhubung isu seramai 52 kakitangan kerajaan yang mengikuti kursus khas PTD digugurkan daripada program itu.

NSTP sebelum ini melaporkan mereka yang ditamatkan termasuk empat pegawai kontrak yang secara automatik kehilangan pekerjaan, manakala baki 48 pegawai diarahkan kembali ke jawatan lama mereka dengan segera.

Penamatan kontrak itu berlaku selepas Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menaikkan gred lulus daripada B kepada A- bagi program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA).

Kursus diploma selama 10 bulan itu membabitkan sejumlah 86 peserta.

Menurut sumber, mereka yang ditamatkan dari kursus itu terdiri daripada 31 wanita dan 21 lelaki, lima daripada mereka pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dan 20 pemegang ijazah sarjana.

Sementara itu, Pengarah INTAN, Datuk Suriani Ahmad, yang mengesahkan perkara itu berkata peserta berkenaan sudah ditamatkan dari kursus dan ia diputuskan oleh JPA.

Katanya peningkatan gred lulus bagi kursus itu diputuskan secara bersama oleh INTAN dan JPA peserta dijangka mendapat markah lebih tinggi berdasarkan pengalaman kerja tambahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 11:36 AM