ENRIQUE
ENRIQUE
Reuters

Barcelona: Selepas mencatat rekod Sepanyol dengan tidak tewas sepanjang 35 perlawanan dalam semua aksi, jurulatih Barcelona Luis Enrique mahu memastikan catatan itu kekal hingga hujung musim sekali gus memenangi La Liga, Copa del Rey serta Liga Juara-Juara buat kali kedua berturut-turut.

Barcelona bertandang ke Eibar malam esok dan mereka memiliki kelebihan lapan mata berbanding Atletico Madrid sambil aksi berbaki 11 perlawanan.

Mereka juga memiliki kelebihan 2-0 dan akan melayan Arsenal di tempat sendiri pada aksi Liga Juara-Juara minggu depan selain bertemu Sevilla di final Copa del Rey pada 22 Mei.

Bagi Luis Enrique, kejayaan berada di tahap sekarang adalah hasil semua kerja keras mereka musim ini.

“Kami berada di kedudukan paling manis setakat ini. Kami berada di tempat yang kami mahukan sejak awal,” kata Enrique selepas menang 5-1 ke atas Rayo Vallecano, pertengahan minggu ini.

“Kami akan lihat apa yang sudah dicapai. Buat masa ini, saya gembira dengan apa yang berlaku dan yakin ia hasil kerja keras kami selama ini.

“Pemain memiliki sikap, keinginan serta kemahuan untuk menang. Apabila Barca bermain dengan semangat itu sejak wisel penamat, sukar bagi anda untuk menghalang mereka,” katanya.

Gandingan tiga penyerang berbakat Lionel Messi, Neymar dan Luis Suarez sudah menghasilkan 62 gol dalam aksi La Liga dan jumlah itu meningkat selepas Messi meledak hatrik pada pertemuan menentang Rayo.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 5:29 AM