SUAREZ (kiri) diasak pemain Los Angeles Galaxy, Leonardo pada aksi di Rose Bowl.
SUAREZ (kiri) diasak pemain Los Angeles Galaxy, Leonardo pada aksi di Rose Bowl.
AFP

Pasadena, AS: Jaringan Luis Suarez dan Sergi Roberto membolehkan Barcelona menang 2-1 ke atas Los Angeles Galaxy kelmarin, sekali gus membuatkan pengurus Luis Enrique menganggap skuad juara Eropah itu memulakan sesi jelajah Amerika Utara dengan penuh bergaya.

Suarez yang juga pemain antarabangsa Uruguay dilihat lebih cemerlang berbanding bekas rakan sepasukannya di Liverpool Steven Gerrard sepanjang perlawanan berkenaan.

Jaringannya pada minit ke-45 dan Roberto pada minit ke-56 memastikan walaupun mereka bermain tanpa kelibat bintang seperti Lionel Messi dan Neymar, Barcelona tetap tidak bermasalah untuk mendominasi permainan di depan 93,226 peminat di Rose Bowl itu.

Perlawanan itu mencatatkan jumlah kehadiran terbesar yang pernah menyaksikan perlawanan membabitkan kelab Major League Soccer.

“Berdasarkan persembahan kami pada perlawanan pertama pramusim ini dengan latihan selama tujuh hari, perlu mengharungi perjalanan jauh, saya merasakan bahawa keputusan ini sangat positif,” kata jurulatih itu. “Secara keseluruhan, pemain kami nampak hebat.”

Barcelona yang bersiap untuk mempertahankan gelaran La Liga, Copa Del Rey dan Liga Juara-Juara dimenangi musim lalu, berjaya menyekat semua ancaman dihadirkan Gerrard serta rakan sepasukannya di Galaxy, Robbie Keane.

Barcelona akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-45 apabila Suarez meledak rembatan kaki kiri melepasi jangkauan penjaga gol Galaxy, Brian Rowe.

Cubaan Suarez daripada tengah kotak penalti pada minit ke-11 dan 23 tidak menepati sasaran manakala Rowe melayangkan badan untuk menepis cubaan Roberto pada minit ke-35.

“Saya gembira dengan persembahan pemain, tahap dan ketahanan mereka,” kata Enrique sambil menekankan bahawa mereka masih boleh bermain lebih baik.

Sementara itu, jurulatih Galaxy Bruce Arena memberi peluang kepada pemain muda pasukannya untuk menimba pengalaman bermain di dalam perlawanan berkenaan.

“Saya tidak fikir Keane dan Gerrard memerlukan perlawanan seperti ini berbanding pemain muda kami yang masih dahagakan pengalaman,” kata Arena.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 9:08 AM