MADONNA dilihat memakai bendera Filipina ketika membuat persembahan di negara itu, Khamis lalu.
MADONNA dilihat memakai bendera Filipina ketika membuat persembahan di negara itu, Khamis lalu.
Reuters

Manila: Penyanyi pop terkenal, Madonna mungkin diharamkan ke Filipina selepas didakwa menghina bendera negara itu dalam konsertnya di Manila baru-baru ini.

Madonna, 57, yang dalam rangka konsert jelajah dunia bagi mempromosikan album terbarunya, Rebel Heart membuat persembahan di Manila pada Rabu dan Khamis lalu.

Ketua Suruhanjaya Sejarah Kebangsaan Filipina, Teodoro Atienza berkata, ketika konsert berkenaan, Madonna melanggar undang-undang yang melarang individu memakai bendera negara itu atau menjadikannya pakaian atau kostum.

“Dia menghina bendera kita,” katanya kepada sebuah stesen radio kelmarin.

Menurutnya, penyanyi Amerika Syarikat dan penerbit konsert berkenaan boleh dikenakan tindakan kerana melanggar undang-undang itu.

“Madonna mungkin dihalau dan diharamkan daripada kembali ke negara itu.

“Dia juga membiarkan bendera Filipina terkena lantai, dan itu adalah satu lagi kesalahan,” jelasnya.

Konsert Madonna di Filipina mencetuskan kontroversi selepas ketua biskop Roman Katolik mahu persembahan itu diboikot kerana berunsur lucah dan mempersendakan agama Kristian.

Gereja Filipina turut membantah konsert berkenaan yang diadakan di dewan yang sama digunakan ketika lawatan Pope Francis tahun lalu.

Madonna meneruskan konsert jelajahnya di Singapura yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional pada hari ini.

Konsert Madonna di Singapura turut dibantah pemimpin gereja Katolik negara itu atas sebab yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 9:05 AM