AKSI Madonna yang menimbulkan kemarahan pengguna Internet China.
AKSI Madonna yang menimbulkan kemarahan pengguna Internet China.
AFP

Taipei: Diva pop Madonna terpalit kontroversi berhubung identiti Taiwan selepas membaluti tubuhnya menggunakan bendera pulau itu, sekali gus mencetuskan kemarahan netizen di China.

Akhbar Taiwan, Apple Daily dan Liberty Times menyiarkan gambar Madonna dengan bendera di bahunya sewaktu menyanyikan lagu ‘encore’ ketika konsert jelajah Rebel Heart Tour di Taipei, kelmarin.

Tindakan penyanyi itu disambut dengan penuh semangat oleh pengguna Internet Taiwan yang melihatnya sebagai menyokong usaha mereka untuk melindungi kedaulatan pulau itu dari Beijing.

“Madonna menyokong Taiwan, Taiwan juga sukakan Madonna,” kata seorang pengguna di laman Apple Daily.

Bagaimanapun, reaksi di Weibo China pula sebaliknya.

“Adakah Taiwan sebuah negara? Kelakarnya. Itu hanya sebuah daerah,” kata seorang pengguna Weibo.

Seorang lagi menulis: “Madonna hanya memegang bendera itu, dan kamu fikir kamu akan dikenali Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)? Kelakarnya.”

Madonna dijadualkan membuat persembahan di Hong Kong dan Macau, tetapi tidak di Tanah Besar China.

Taiwan memerintah secara bebas sejak berpisah dengan China pada 1949 berikutan perang saudara, namun Beijing masih menganggapnya sebahagian daripada wilayahnya yang menunggu masa untuk kembali bersatu. Taiwan kini cuma diiktiraf oleh 22 negara berikutan Beijing semakin berpengaruh di seluruh dunia.

Bagaimanapun, tiada ulasan lanjut dari penganjur atau wakil Madonna berhubung konsert itu.

Tahun lalu, penyanyi popular Katy Perry turut mencetuskan kekecohan di Taiwan dan China apabila muncul di pentas di Taipei membawa bendera negara itu sambil mengenakan gaun emas dihiasi bunga matahari - simbol bantahan pelajar anti-China di Taiwan pada 2014.

Beberapa penghibur Taiwan turut berdepan masalah kerana mengibarkan bendera Taiwan di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 5:04 AM