DINDING ruang dapur berhias gaya Inggeris.
DINDING ruang dapur berhias gaya Inggeris.
BILIK air juga tidak terkecuali menerima sentuhan dekorasi.
BILIK air juga tidak terkecuali menerima sentuhan dekorasi.
BILIK tidur dua cahaya mata Norashikin ditata hias penuh ceria.
BILIK tidur dua cahaya mata Norashikin ditata hias penuh ceria.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Sarat dengan idea, dekorasi kediaman Norashikin Mahad, 41, sering berubah bagi mengelakkan bosan atau menatap elemen sama saban hari.

Tetamu yang pertama kali bertandang pasti keliru dengan susunan ruang kediaman ini di Bukit Raja, Klang.

Sebenarnya ia dua unit kediaman yang digabung menjadi satu dan ia secara tidak langsung memberi peluang kepada Norashikin dan suami Daud Md Said, 40, merancang dekorasi kediaman berkenaan.

Ruang tamu yang menawarkan suasana eksklusif dan selesa itu tidak dibiarkan terlalu padat dengan perhiasan, sebaliknya disusun letak rapi selari dengan perkembangan usia anak-anak yang masih kecil.

“Setiap dekorasi mementingkan aspek keselesaan dan kesesuaian persekitaran kerana setiap ruang menjadi tempat anak-anak bermain.

“Suasana santai untuk ruang menonton kami serikan dengan perabot ringkas termasuk katil siang jati yang pelbagai fungsi.

“Malah, sesiapa saja antara kami bebas menyusun letak perabot dan aksesori hiasan pada ruang tertentu asalkan tidak menganggu pergerakan,” kata suri rumah sepenuh masa itu.

Berada di ruang makan, aura penataan lebih kepada suasana santai dan tidak terlalu sarat dengan hiasan.

Dinding utama berseri dengan cermin hiasan, sementara meja makan pula dihiasi jambangan bunga ringkas.

Sambil menjamu selera dengan sajian enak air tangan Norashikin, penulis dan jurugambar sempat menjeling kelainan dekorasi pada ruang dapur.

Sekali imbas gaya ala Inggeris dominan di ruang itu. Dari hiasan dinding, set pinggan mangkuk hingga kelengkapan memasak semuanya bermotifkan bunga mawar.

Kesibukan dalam menguruskan anak-anak, Norashikin tetap menjadikan rutin mengemas sebagai amalan harian supaya persekitaran sentiasa bersih dan terjaga.

Anak-anak hias sendiri bilik tidur

Sambil mengajak kami menjenguk bilik tidur tujuh cahaya matanya itu, Norashikin berbangga apabila ia didekorasikan sendiri empunya bilik.

“Sekurang-kurangnya ia dapat melatih anak-anak kami menghargai idea dekorasi yang diketengahkan.

“Apabila bilik sendiri tampil dengan penataan diinginkan, mereka lebih cenderung untuk berlumba-lumba mengindahkan suasana,” katanya.

Bagaimanapun, dia dan suami turut memberikan panduan menghias bilik sesuai buat semua cahaya matanya itu.

“Bilik mereka juga berfungsi sebagai tempat belajar, jadi dekorasi perlu praktikal tapi masih mengekalkan perabot atau elemen hiasan yang diinginkan.

“Pendekatan ini banyak membantu kerana kami tidak perlu mengingatkan anak-anak untuk mengemas bilik masing-masing, sebaliknya dilakukan sendiri sejak idea dekorasi diketengahkan,” katanya.

Malah Norashikin tidak menafikan merah jambu dan biru menjadi warna pilihan buat anak perempuan serta lelakinya.

Semua elemen hiasan termasuk dekoratif dinding diberi dari kedai harga patut dan diolah sendiri anak-anaknya dengan bantuan Norashikin.

“Walaupun perhiasan ini dibeli dengan harga murah, ia tetap nampak menarik apabila bijak dikreatifkan untuk suasana lebih menarik.

“Ada ketikanya perhiasan ini diubah suai apabila tiba waktu tertentu terutama berkenaan karakter kartun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2016 @ 5:00 AM