CERMIN hiasan daripada koleksi jati jenis ‘white wash.’
CERMIN hiasan daripada koleksi jati jenis ‘white wash.’
PANEL langsir berasaskan kayu jati.
PANEL langsir berasaskan kayu jati.
PERHIASAN jati yang turut diselang-seli dengan hiasan lain.
PERHIASAN jati yang turut diselang-seli dengan hiasan lain.
KABINET televisyen menarik dengan kemasan jati.
KABINET televisyen menarik dengan kemasan jati.
Hartini Mohd Nawi


Mata terpukau sebaik melangkah masuk ke kediaman ini yang memberi gambaran pemiliknya antara pencinta seni perabot dan hiasan jati.

Ia sekali gus menolak tanggapan sesetengah orang bahawa kediaman jenis kondominium tidak sesuai dengan penataan berlatarkan kayu itu.

Gemarkan kelainan dengan idea dekorasi berbeza turut mendorong Halina Mohd Amin, 45, menampilkan suasana eksklusif sedap mata memandang di kediamannya di Seksyen 22, Shah Alam.

Selari dengan perkembangan dunia hiasan dalaman semasa, rekaan moden dan kontemporari menjadi pilihan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini. Pendek kata semuanya berasaskan kayu jati cuma berbeza rekaan.

“Sejak dulu saya meminati perabot dan aksesori hiasan jati kerana ia mempunyai nilai keindahan tersendiri yang tentunya menarik, kelihatan mewah, eksklusif dan tidak pernah lapuk ditelan zaman.

“Pada saya, setiap rekaan mempunyai kelainan dan kaya dengan seninya, cuma lebih selesa memilih konsep moden serta kontemporari supaya sesuai dengan keluasan kediaman ini,” katanya usahawan ini.

Beliau sentiasa peka dengan keperluan ruang dan seboleh-bolehnya ingin meraikan tetamu dalam persekitaran lapang.

Lantas ruang makan yang menempatkan meja dan kerusi makan jati menjadi penataan pertama ditatap sebaik melangkah masuk.

Rekaan moden dan kontemporari praktikal itu diketengahkan dengan permukaan meja yang bermotifkan lakaran abstrak.

Menuju ke ruang tamu, kabinet pelbagai guna jati di sebelahnya turut menarik perhatian.

Duduk saja di ruang itu, mata tidak terlepas pandang kabinet televisyen yang juga berasaskan kayu jati.

Tidak terkecuali dinding yang diserikan dengan seni lukisan yang dibingkaikan material berkenaan.

Lebih menarik, panel langsir berukiran indah antara perhiasan tambahan yang memukau pandangan.

“Jujur saya katakan, dekorasi berlatarkan jati memberi pengalaman dan persepsi tersendiri buat saya, keluarga serta tetamu.

“Apatah lagi ia mudah disesuaikan dengan sebarang konsep dekorasi asalkan kena dengan susun aturnya.

“Memilikki perabot dan aksesori hiasan jati banyak membantu saya lebih peka dan menghargai seni,” katanya yang sering mengubah susun atur penataan bagi mengelakkan pemandangan biasa atau membosankan.

Sudut tertentu juga dihiasi dengan susun letak pelbagai jenis pasu hiasan rekaan moden dan kontemporari.

Beralih ke bilik tidur utama, Haslina tidak lokek berkongsi keunikan dekorasi di ruang itu.

Antara yang tidak kurang menariknya adalah cermin hiasan dan meja solek berasaskan perabot jati tetapi dalam warna putih atau ‘white wash.’

Masih dalam aura dekorasi moden dan kontemporari, bilik berkenaan ditata hias sempurna termasuk bahagian dinding diserikan dengan potret Haslina yang juga berbingkaikan jati.

Pengalaman bergelar usahawan perabot jati satu ketika dulu banyak mengajar wanita ini untuk sentiasa peka dengan rekaan semasa dan lebih menghargai keunikan material itu sendiri.

“Kadang-kadang idea penataan tercetus tanpa diduga dan situasi itu sering mendorong saya mengambil pelbagai aspek dalam menghias rumah.

“Paling penting ia selesa dan menarik pada pandangan mata. Itu sudah memadai asalkan masih dalam konsep moden dan kontemporari,” katanya.

Sementara hujung minggu pula menjadi waktu terbaik buat Haslina dan keluarga mengemas kediaman bersama-sama.

Apatah lagi perabot dan aksesori hiasan jati bukan calang-calang penjagaan bagi mengekalkan serinya sepanjang masa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2016 @ 7:11 AM