MUKHRIZ (tengah) bersama Aminuddin (dua dari kiri) bergambar dengan  pemenang.
MUKHRIZ (tengah) bersama Aminuddin (dua dari kiri) bergambar dengan pemenang.
Oleh Mohamad Hussin


Alor Setar: Buat pertama kalinya, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengorak langkah apabila memberi peluang kepada peminat skuad Helang Merah menyertai pertandingan rekaan jersi skuad Kedah 2015 untuk Piala Malaysia, Liga Premier dan Piala FA pada musim depan.

Tiga pemenang daripada 300 penyertaan membabitkan tiga kategori iaitu home, away dan third dimenangi Muhamad Hafizie Noraziz, 20, (home), Harith Hashim, 33, (away) dan Muhamad Yusri Saad, 20, (third). Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Harith yang juga kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, dia mengambil masa selama empat hari mencipta jersi baru bagi pasukan Kedah berdasarkan warna hijau dan kuning.

“Saya menghantar penyertaan bagi semua kategori namun rezeki saya menang untuk kategori away. Syukur Alhamdulilah kerana ciptaan saya membawa tuah apabila dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori itu.

“Sebagai anak jati Kedah, semangat dan cintakan negeri ini mendorong saya mencipta jersi baru pasukan Kedah. Saya menggabungkan elemen hutan dan air sungai dalam ciptaan saya kerana tempat kerja saya di kelilingi kawasan hijau manakala air sungai pula apabila negeri ini dilanda banjir.

“Elemen ini saya gabungkan dan timbul idea mencipta jersi baru pasukan ini. Saya amat meminati bidang seni reka dan semangat saya berkobar-kobar apabila KFA mengadakan pertandingan rekaan jersi skuad Kedah 2015 pada musim depan,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah di Wisma Darul Aman, di sini, semalam.

Majlis disempurnakan Presiden KFA yang juga Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Kedah merangkap Setiausaha KFA Aminuddin Omar.

Sementara itu, Mukhriz berkata, beliau akan menyerahkan nama pemain yang akan mewakili pasukan Kedah kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 5 Disember ini.

“Tunggu dan lihat siapakah pemain baru dan lama yang akan bermain pada musim depan, saya tidak mahu membuat pengumuman sehingga kami menyerahkan nama pemain kepada FAM nanti.

“Senarai pemain itu akan menggandingkan muka lama dan baru termasuk pemain import bagi mantapkan lagi pasukan Kedah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan rekaan jersi skuad Kedah 2015 bagi memberi peluang kepada peminat sukan bola sepak itu menyumbang idea bagi memartabatkan lagi industri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:11 AM