Susunan Georgie Joseph


Tanyalah siapa saja, pasti tahu mengenai band dari London iaitu Coldplay.

Sudah dua dekad melakar kejayaan demi kejayaan, tiada petanda sokongan pengikut band ini semakin pudar.

Tahun lalu, band dianggotai Chris Martin (penyanyi), Jonny Buckland (gitar), Guy Berryman (bass) dan Will Champion (dram) pernah mengumumkan akan menamatkan legasi mereka.

Bagaimana mereka tergamak mahu hampakan peminat? Tampil dengan album terbaru A Head Full of Dreams tahun lalu, jelas terbukti Coldplay masih berada di ambang kegemilangan ketika ini.

Bukan saja lagu mereka masih berbisa, bahkan album itu sendiri berjaya mengetepikan album bintang sensasi lain yang sedang marak sekarang.

Tahun lalu, A Head Full of Dreams berjaya menduduki tangga kedua Carta Album United Kingdom (UK) di belakang Adele.

Bagaimanapun, ditampilkan sebagai penghibur utama untuk acara berprestij tahunan Amerika Syarikat (AS) iaitu Super Bowl 2016 lantas mengubah kedudukan itu.

Jualan album Coldplay serta-merta mendadak selepas mereka memberikan persembahan hebat pada acara terbabit.

Beraksi bersama Beyonce, Mark Ronson dan Bruno Mars, acara itu mendapat tontonan lebih 112 juta penonton di seluruh dunia.

Ia sekali gus membuatkan A Head Full of Dreams kembali ke tangga pertama Carta UK itu dan menolak Adele ke tangga kedua.

Bagaimanapun, memori indah di Super Bowl yang masih hangat diperkatakan nampaknya mendapat tempias negatif juga.

Seorang personaliti TV iaitu John Oliver mengkritik persembahan Coldplay yang disifatkan sangat mengerikan.

Tidak ketinggalan, ada yang membandingkan mereka dengan persembahan hebat Beyonce dan Bruno Mars. Lebih teruk, Coldplay dikatakan tidak mampu mengatasi kehebatan dua ‘superstar’ terbabit.

Bagaimanapun, itu hanya tanggapan liar kerana Coldplay sendiri pastinya arif dan tahu tahap kehebatan dua ‘superstar’ itu.

Satu sumber penulis muzik tidak ketinggalan mempertahankan band itu dengan membentangkan justifikasi bahawa Coldplay ada kelebihan sendiri.

Menurutnya, band berkenaan sendiri menjadi ikutan dan inspirasi beberapa bintang muda sekarang.

“Tonton sendiri mereka mengadakan konsert, barulah kamu tahu bagaimana magis mereka. Hampir semua lagu mereka boleh dinyanyikan baik 60,000 hingga ke 100,000 penonton di sebuah stadium.

“Adakah anda tahu penonton yang hadir pada siri jelajah Taylor Swift baru-baru ini turut mengenakan gelang tangan bercahaya? Fenomena itu sudah dimulakan Coldplay sejak dua tahun lalu,” kata sumber terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2016 @ 7:47 AM