ANUGERAH MTV European Music Awards 2016 diadakan di Rotterdam, Belanda.
ANUGERAH MTV European Music Awards 2016 diadakan di Rotterdam, Belanda.
Susunan Ramlah Zainal


Bintang pop Justin Bieber dan Lady Gaga mendominasi dua kategori sempena Anugerah MTV European Music Awards 2016 (EMA) yang berlangsung di Rotterdam, Belanda, semalam.

Pada majlis itu, Bieber, 22, memenangi dua kategori iaitu Lagu Terbaik menerusi lagu popularnya Sorry dan Pilihan Peminat yang sudah dimenanginya tiga kali berturut-turut sebelum ini.

Penyanyi kelahiran Kanada itu juga menewaskan penyanyi terkenal Adele yang turut dicalonkan menerusi tiga kategori termasuk Lagu Terbaik pada majlis anugerah berprestij itu.

Selain Bieber, Lady Gaga juga berjaya memenangi dua kategori yang dicalonkan iaitu Penyanyi Wanita Terbaik dan Penampilan Terbaik sekali gus mencuri tumpuan ramai pada majlis berkenaan.

Namun, Bieber tewas kepada bintang media sosial yang menjadi pujaan ramai iaitu Shawn Mendes dalam kategori Penyanyi Lelaki Terbaik.

Manakala, DJ kelahiran Belanda, Martin Garrix juga mendapat perhatian ramai kerana berjaya membawa pulang dua kategori yang dipertandingkan.

Malah, personaliti berusia 20 tahun yang baru melancarkan labelnya sendiri awal tahun ini juga membawa pulang kategori Best Eletronic Act dan Best World Stage menewaskan barisan calon lain yang tidak kurang hebatnya seperti Tinie Tempah, Ellie Goulding dan Duran Duran.

Jika Adele gagal membawa pulang anugerah, kumpulan rock terkenal Britain, Coldplay pula berjaya memenangi kategori Band Rock Terbaik dan Drake pula memenangi kategori Hip Hop Terbaik yang dicalonkan.

Bukan saja Adele, penyanyi terkenal Beyonce yang tercalon menerusi lima kategori juga gagal membawa pulang sebarang trofi pada majlis itu.

Tidak ketinggalan, Little Mix yang baru saja melancarkan album barunya beberapa bulan lalu berjaya menewaskan anggota One Direction Zayn Malik, Adele, Coldplay dan Years And Years serta membawa pulang dua kategori iaitu Anugerah Artis United Kingdom dan Ireland Terbaik.

Majlis mengenang mendiang Pop Superstar, Prince

Majlis anugerah MTV EMA 2016 turut memberi penghargaan kepada Prince yang meninggal dunia pada April lalu.

Pada majlis itu, pengacara majlis, Bebe Rexha juga mengumumkan trofi EMA 2016 juga bertukar warna ungu sempena mengenang pemergian mendiang Prince itu.

Penyanyi yang menempa nama menerusi lagu Purple Rain itu ditemui mati dekat lif di kawasan kediamannya di Minnesota, Amerika Syarikat.

Sementara itu, Anugerah MTV EMA 2016 turut mengiktiraf band rock terkenal dari Amerika Syarikat (AS), Green Day dalam kategori Ikon Global sempena menghargai sumbangannya kepada industri muzik.

Ketika menerima anugerah itu, penyanyi Green Day, Billie Joe Armstrong berkata, ia sesuatu yang bagus untuk berada di Eropah ketika ini.

“Ia sesuatu yang baik untuk berada di luar AS seketika kerana musim pilihan raya berjalan ketika in kerana seluruh negara seolah-olah berada dalam ‘serangan jantung’,” katanya.

Band terkenal itu juga meminta peminat untuk terus tampil seksi sebelum kumpulan itu membuat persembahan dengan lagu American Idiot.

Acara anugerah turut dihangatkan lagi dengan persembahan Robbie Williams, Zara Larsson, Bebe Rexha, Lukas Graham, The Weekend, Martin Garrix, One Republic, Kings Of Leon dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 1:57 PM