Shahrin (kiri)  membaca laporan akhbar berhubung berita kenderaan yang dipandunya merempuh  harimau bunting di LPT2, dekat Kerteh, semalam.
Shahrin (kiri) membaca laporan akhbar berhubung berita kenderaan yang dipandunya merempuh harimau bunting di LPT2, dekat Kerteh, semalam.
Oleh Rosli Ilham


Marang: Jurugambar bebas, Mohd Syahrin Abdul Aziz, 43, berasa amat kesal apabila ada sesetengah pihak menuduhnya sengaja melanggar harimau betina dalam kejadian di Kilometer 321.2 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), dekat Kerteh, pagi kelmarin.

“Saya memang tidak berniat langsung melanggar harimau itu kerana saya juga mempunyai rasa simpati. Kejadian kemalangan ini satu dalam sejuta,” katanya.

Menurutnya, hatinya tambah sedih apabila mendapati haiwan yang dilanggarnya itu adalah harimau betina bunting.

“Saya sedih apabila membaca akhbar dan pihak PERHILITAN (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) mengesahkan harimau itu bunting dua ekor anak.

“Tuduhan segelintir pihak adalah tidak wajar kerana bukan niat saya untuk melanggarnya,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Pusu 3 di sini, semalam.

Semalam, Pengarah PERHILITAN Terengganu Mohd Hasdi Husin mengesahkan haiwan terbabit bunting dua bulan apabila hasil bedah siasat dijalankan terhadapnya menemui dua janin harimau di dalam perutnya.

Harimau betina itu yang berusia 10 hingga 15 tahun turut disifatkan PERHILITAN sebagai ibu muda dengan beratnya dianggarkan 100 kilogram.

Haiwan itu mati selepas dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu Mohd Syahrin dalam kejadian jam 1 pagi dipercayai ketika sedang melintas lebuh raya terbabit.

Ketika kejadian itu, Mohd Syahrin bersama isterinya, Masturawati Asari, 42, serta tiga anak mereka, Muhammad Adam Syafril, 16; Nur Sarah Aina, 13, dan Nur Ain Sofi, 10, dalam perjalanan dari Ampang pulang ke Kampung Pusu 3.

“Saya sendiri mengalirkan air mata selepas kejadian itu sebaik mendapati haiwan yang dilanggar itu adalah seekor harimau.

“Saya juga melarang apabila ada beberapa pengguna lebuh raya yang berhenti melihat kejadian itu mahu mengambil bangkai harimau terbabit kerana ia menyalahi undang-undang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 6:41 AM