Roslan dan Pengarah Eksekutif KB Group, Zahidah Abdul Karim melancarkan Ramada Lumut Resort, semalam.
Roslan dan Pengarah Eksekutif KB Group, Zahidah Abdul Karim melancarkan Ramada Lumut Resort, semalam.

Kuala Lumpur: KB Group Sdn Bhd (KB Group) menandatangani perjanjian francais dengan Wyndham Hotel Group, pemilik perhotelan terbesar di dunia bagi membina Ramada Lumut Resort di Perak bermula tahun depan.

Pengarah Urusan KB Group, Datuk Roslan Khalid berkata, hotel itu dibina di atas tanah seluas 1.9 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM455 juta dan dijangka siap akhir 2018.

Beliau berkata, projek itu membangunkan 269 ​unit ​kediaman serta pangsapuri mewah, tujuh villa eksklusif dan hotel empat bintang dengan 170 bilik.

“Terletak di hab pelaburan paling pesat berkembang di Perak, resort ini mempunyai pulangan sewaan dijamin (GRR) tujuh peratus bagi tiga tahun pertama bermula 2019.

“Kami menawarkan penyelesaian pelaburan hartanah 72.9 peratus bersih GRR dalam tempoh 10 tahun, 20 peratus penempah awal dan 90 peratus pembiayaan margin,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian francais, di sini, baru-baru ini.

Projek hartanah itu disasarkan kepada pelabur risiko sederhana dan dijual pada RM770 sekaki persegi dengan pulangan jangka panjang.

Roslan berkata, projek hartanah itu mempunyai kadar pengambilan melebihi 30 peratus dan dilancarkan di Pulau Pinang selepas Tahun Baru Cina.

“Resort ini menarik pelabur asing dari China, Macau, Taiwan, Filipina, Indonesia, Brunei dan Singapura berikutan kelemahan ringgit menjadikan pelaburan itu mampu dimiliki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 6:08 AM