EMIR (dua dari kiri) bersama wakil penaja LTdL 2016.
EMIR (dua dari kiri) bersama wakil penaja LTdL 2016.

Shah Alam: Ciclista Sports Sdn Bhd menaruh harapan Le Tour de Langkawi (LTdL) akan lebih meriah hujung bulan ini dengan pembabitan rakyat Malaysia sepanjang lapan peringkat perlumbaan dari Alor Setar ke Melaka.

Jadi sebagai penganjur perlumbaan, syarikat berkenaan menghidupkan semula acara perarakan berkereta yang bertujuan mengajak masyarakat memberikan sokongan di sepanjang perlumbaan.

Acara berkenaan tidak diadakan tahun lalu namun dihidupkan semula kali ini membabitkan 30 kenderaan yang akan bergerak sejam sebelum perlumbaan bermula.

Mereka akan terbabit mempromosikan kepada masyarakat sekeliling di sepanjang laluan perlumbaan.

“Ia boleh diibaratkan program rakyat. Jadi kami mahu kembalikan sorakan semangat kepada pelumba sepanjang perlumbaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL Emir Abdul Jalal.

Terdahulu berlangsung majlis memperkenalkan lima penaja bagi acara perarakan berkereta iaitu Farzuan Richglobal Sdn Bhd (K-Colly), LA Genius Sdn Bhd, Rakyat Management Services Sdn Bhd (Ar-Rahnu X’Change), NSK Trade City Sdn Bhd dan Tourism Melaka.

“Malah kali ini, kami akan mengadakan pertandingan kepada setiap sekolah yang memberikan sokongan dan semangat kepada pelumba di sepanjang perlumbaan membabitkan hadiah berjumlah RM3,000.

“Pertandingan ini turut diperluaskan ke setiap kampung bagi memeriahkan perlumbaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Februari 2016 @ 5:16 AM