WARNA emas antara warna utama yang digunakan dalam kebanyakan karya.
WARNA emas antara warna utama yang digunakan dalam kebanyakan karya.
KARYA yang menampilkan corak pintu yang unik di Syria.
KARYA yang menampilkan corak pintu yang unik di Syria.
ANTARA medium yang digunakan adalah cat minyak dan pewarna natural di atas kayu.
ANTARA medium yang digunakan adalah cat minyak dan pewarna natural di atas kayu.
ABDULRAOUF Baydoun.
ABDULRAOUF Baydoun.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Karya seni halus yang dihasilkan Abdulraouf Baydoun di Pameran Ajami bagaikan membawa anda melihat hiasan dalaman istana di Syria yang penuh dengan ukiran halus dengan motif flora dan kalimah kitab suci al-Quran.

Hasil seni itu berbeza kerana Abdulraouf menampilkan seni Ajami iaitu genre seni dari Syria yang halus dan jarang dipelopori artis di sana.

“Di Syria, terdapat lima artis saja yang menghasilkan karya seni Ajami ini kerana ia memerlukan kepakaran dan kemahiran yang tinggi,” katanya.

Ajami yang bermaksud asing adalah genre seni baru yang dibawa masuk dari luar dan dikembangkan di Syria mula mendapat perhatian kerana penghasilannya halus dan unik.

Karya seni Ajami juga dapat dibezakan dengan seni lain di Syria kerana ia adalah tiga dimensi apabila setiap corak bunga atau ayat al-Quran perlu diukir dengan teliti.

Menjadi salah seorang peneraju Ajami, Abdulraouf pernah menghias beberapa bangunan tersohor di Syria seperti Istana Al-Azem di Hama dan Masjid Umayyad di Damsyik.

Terdapat 35 karya yang dipamerkan pada pameran itu dan semuanya dihasilkan di negara ini. Setiap satu karya mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiapkan.

“Karya seni Ajami menarik dan rumit kerana ia mempunyai beberapa lapisan. Jadi saya ambil masa sebulan untuk siapkan satu-satu karya,” katanya.

Antara medium yang digunakan cat minyak dan pewarna natural di atas kayu selain warna emas dan perak dijadikan warna utama dalam semua karya dipamerkan.

Selain menghasilkan corak bunga, Abdulraouf turut menggabungkan corak geometri dan tulisan kaligrafi atau seni khat bagi menonjolkan lagi hasil seninya.

“Antara ayat al-Quran yang saya ukir adalah al-Kursi, al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas dan semuanya dihasilkan dengan teliti bersesuaian mengikut maksud ayat-ayat berkenaan,” katanya.

Malah, Abdulraouf turut dibantu isteri dan tiga anaknya dalam menghasilkan karya berkenaan selepas mewariskan teknik seni istimewa itu kepada ahli keluarganya.

Pameran Ajami yang berlangsung di Galeri Seni Universiti Malaya (UM), Bangunan Canseleri UM, Kuala Lumpur itu dibuka kepada orang ramai hingga 26 Februari 2016.

INFO

AJAMI

- Artis: Abdulraouf Baydoun

- Jumlah karya: 35

- Lokasi: Galeri Seni Universiti Malaya (UM), Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

- Tarikh: Sehingga 26 Februari 2016

- Masa: 9 pagi hingga 4.30 petang

- Telefon: 03-7967 3780 atau 011-1126 2970

- Web: www.baydoun-sy.com

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 11:36 AM