ANNIKETYNI Madian menerapkan elemen Sarawak dengan menggunakan motif Pua Kumbu dalam setiap karyanya.
ANNIKETYNI Madian menerapkan elemen Sarawak dengan menggunakan motif Pua Kumbu dalam setiap karyanya.
ANTARA karya terbaru diberi nama Tebekang menampilkan rekaan berbentuk rama-rama.
ANTARA karya terbaru diberi nama Tebekang menampilkan rekaan berbentuk rama-rama.
FAIRUZ menggunakan medium kayu rumah tradisional untuk menghasilkan karya unik.
FAIRUZ menggunakan medium kayu rumah tradisional untuk menghasilkan karya unik.
KARYA dihasilkan Fairuz Paizan bertajuk Empunya Badan.
KARYA dihasilkan Fairuz Paizan bertajuk Empunya Badan.
Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman


Ketika berkunjung ke Artcube Gallery, perkara pertama yang pasti menarik perhatian ramai ialah karya seni tulang rangka badan manusia yang diletakkan di dinding sebelah kanan galeri itu.

Bukan saja menarik dengan rekaan potongan kayu yang kemas, malah setiap bahagian tulang dan bilangannya juga tepat mengikut kiraan rangka tulang manusia sebenar.

Hasil seni teliti itu karya Mohd Fairuz Paisan yang menyertai pameran bertajuk Cutting-It di galeri berkenaan.

Tampak jelas karyanya dihasilkan dengan kemas daripada perincian pemotongan hingga bilangan dan bentuk tulang kerana bagi beliau, sangat penting membuat kajian sebelum menghasilkan sesuatu karya.

Selain karya istimewa diberi nama Empunya Badan itu, hasil seninya bertajuk Monang Kobau turut dihasilkan dengan cukup teliti dan terperinci menggunakan medium kayu dari rumah tradisional.

Berbeza dengan Fairuz, Anniketyni Madian pula mengetengahkan corak rumit Pua Kumbu dalam setiap kerja tangannya yang juga menggunakan medium kayu.

Anniketyni yang berasal dari Sarawak berkata, corak itu istimewa bagi penduduk Bumi Kenyalang kerana kebiasaannya ia dipakai pada hari istimewa seperti majlis perkahwinan.

Kaedah pemotongan dalam menghasilkan karyanya dilakukan dengan begitu halus dan sukar dilakukan kerana coraknya sangat kompleks.

Karya utama yang diketengahkan Anniketyni pada pameran itu ialah siri rekaan diberi nama Tebekang yang berbentuk rama-rama. Tebekang juga bermaksud cantik dalam bahasa Iban.

Walaupun teknik dan jenis kayu digunakan berbeza, kedua-dua anak seni berkenaan ada persamaan iaitu menerapkan identiti dan latar belakang ke dalam karya masing-masing selain menyelitkan kenangan silam.

INFO

CUTTING-IT

- Artis: Mohd Fairuz Paisan dan Anniketyni Madian

- Jumlah karya: 14

- Tempat: Artcube Gallery, 3-10 & 3-13, Tingkat 3, Intermark Mall, The Intermark, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur

- Waktu: Sehingga 9 Oktober

- Telefon: 019-3309984 (Azhar)

- web: www.artcube.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 9:47 AM