Adenan dan Rohani mendengar taklimat mengenai mangsa banjir di Pusat Pemindahan Dewan Serbaguna Taman Maliha, Matang. FOTO Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
Adenan dan Rohani mendengar taklimat mengenai mangsa banjir di Pusat Pemindahan Dewan Serbaguna Taman Maliha, Matang. FOTO Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem memendekkan program lawatan Tahun Baru Cinanya dengan meluangkan masa bertemu mangsa banjir di Pusat Pemindahan di Dewan Serbaguna Taman Maliha di sini, petang tadi.

Beliau tiba pada 3.45 petang dengan ditemani isterinya Puan Sri Jamilah Anu, meluangkan masa hampir sejam berbual mesra bertanya mengenai masalah yang dihadapi mangsa banjir.

Turut serta, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Adenan ketika sidang media berkata, beliau berpuas hati dengan proses pemindahan dan pengurusan bantuan mangsa banjir.

"Walaupun ada kekurangan tetapi keseluruhannya saya berpuas hati dengan tindakan pantas yang diambil pasukan penyelamat dan agensi terbabit.

"Keadaan banjir dilihat menunjukkan perkembangan positif tetapi langkah berjaga-jaga perlu diambil kerana diramalkan berlaku air pasang besar selama beberapa hari ini beserta hujan berterusan," katanya.

Sementara itu, Rohani berkata, bantuan dan pusat pemindahan akan dibuka dalam tempoh dua jam sebaik satu bencana diketahui.

"Dalam tempoh dua jam, pasukan penyelamat dan wakil dari agensi terbabit sudah berada di pusat pemindahan bagi memberi bantuan kepada mangsa yang terjejas.

"Dalam tempoh dua jam semuanya perlu diselesaikan," katanya yang turut berpuas hati dengan proses pemindahan dan pengurusan bantuan kepada mangsa banjir.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa memantau paras air sungai di negeri ini dan baraj.

"Kira-kira jam 5 petang pintu baraj di Sungai Sarawak dibuka dan kita khuatir air laut lebih tinggi dari air sungai kerana air pasang besar dianggarkan pada 5.7 meter," katanya.

Seramai 422 mangsa daripada 86 keluarga ditempatkan di Pusat pemindahan banjir Dewan Serbaguna Taman Malihah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 6:01 PM