Kawasan Siburan yang dilanda banjir. FOTO ihsan bomba
Kawasan Siburan yang dilanda banjir. FOTO ihsan bomba
Abd Rahman Adam


Kuching: Seramai 617 mangsa banjir daripada 134 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan banjir di bahagian Kuching dan Bau, sehingga 4.30 petang tadi.

Daripada jumlah itu, 548 mangsa membabitkan 126 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan di bahagian Kuching termasuk satu daripadanya baru dibuka di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Sejijak kira-kira 3 petang tadi.

Sementara itu, dua pusat pemindahan turut dibuka di Bau iaitu di Sekolah Kebangsaan Siniawan dan Dewan Serbaguna Kampung Pangkalan Bau, kini menempatkan 64 mangsa daripada 15 keluarga.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, pintu baraj Sungai Sarawak kini dibuka untuk tujuan pelepasan air ke laut sekali gus mengelak beberapa kawasan rendah terjejas lebih teruk.

Katanya, kemungkinan malam ini paras air naik lebih tinggi terutama membabitkan kawasan rendah di Kuching serta bahagian lain seperti di Bau dan Siburan.

"Beberapa kawasan berisiko dilanda banjir antaranya Bau, Batu Kitang, Siniawan, Rantau Panjang, Desa Wira dan Stampin.

"Setakat ini, kita bersama beberapa pasukan keselamatan lain masih berada di lokasi untuk membuat pemantauan terutama membabitkan kawasan berisiko banjir,"katanya.

Katanya, penduduk yang tinggal di kawasan rendah diminta bersedia selain mematuhi arahan sekiranya diminta berpindah ke pusat pemindahan yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 5:47 PM