Hidayah Bahaudin

Kuching: Jumlah mangsa banjir di empat pusat pemindahan di Bahagian Kuching dan Serian meningkat kepada 368 mangsa daripada 118 keluarga sehingga 4 petang ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, berkata jumlah mangsa dijangka terus meningkat berikutan paras air Sungai Sarawak semakin naik.

“Kami menjangkakan lebih banyak pusat pemindahan akan dibuka sehingga lewat malam ini.

“Ini termasuk beberapa kawasan penempatan di bandar raya ini seperti Batu Kawa yang mula dinaiki air selain beberapa kampung di daerah Bau dan Padawan," katanya ketika dihubungi.

Farhan berkata, baraj Sungai Sarawak dibuka bagi membantu aliran keluar air sungai ke laut untuk mengelakkan keadaan banjir bertambah buruk.

"Kebiasaannya, pintu baraj akan dibuka pada kira-kira 5 petang memandangkan tempoh itu berlaku air pasang besar dengan paras air 5.5 meter," katanya.

Empat pusat pemindahan yang dibuka di Bau, Kuching iaitu , Dewan Kampung Bijuray Krokong yang menempatkan 105 mangsa, Gereja St Marry Kampung Bugag (29) dan Dewan Kampung Kaman (17), selain Sekolah Kebangsaan (SK) Peter, Bunuk (217) di Padawan, Serian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2016 @ 4:55 PM