ANTARA kawasan yang terjejas banjir hari ini. FOTO Melvin Joni
ANTARA kawasan yang terjejas banjir hari ini. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Kuching: Fenomena air pasang besar dijangka berlaku ketika ini dengan paras 10.6 meter sekali gus boleh mengakibatkan banjir yang lebih serius di Sarawak jika hujan lebat berterusan.

Pengerusi Lembaga Sungai Sarawak (LSS) Dr Murni Suhaili berkata. risiko untuk air Sungai Sarawak melimpah keluar dari tebingan amat tinggi.

"Ini kerana isi padu air sungai yang mengalir dari kawasan tadahan berlebihan, selain ditambah lagi dengan fenomena air pasang hari ini di hilir Baraj Kuching ," katanya yang dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, hujan lebat dijangka berlaku secara tidak konsisten di beberapa kawasan berdekatan dengan Sungai Sarawak kiri dan trend paras air sungai menurun.

Manakala, katanya, di Sungai Sarawak kanan, hujan renyai dan mendung berlaku di kebanyakan kawasan berdekatan dan trend paras air sungai juga menurun.

Setakat petang tadi, jumlah mangsa banjir di Sarawak meningkat kepada seramai 517 orang, dengan sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Enam PPS dibuka di Kuching, dua di Miri dan satu di Serian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 8:00 PM