Zambry menyampaikan watikah perlantikan kepada ketua kampung. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Zambry menyampaikan watikah perlantikan kepada ketua kampung. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: Ketua Kampung perlu memainkan peranan sebagai pemimpin di peringkat akar umbi dengan lebih kreatif dalam memastikan perancangan berjalan lancar dan efektif.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ketua kampung bertindak sebagai jentera kerajaan serta perlu membantu dan menyatukan masyarakat selain menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

"Ketua kampung tidak boleh membezakan untuk memberi bantuan kepada masyarakat dalam kemiskinan dan apabila berlaku bencana di kawasan mereka.

"Selain itu, mereka juga perlu memastikan generasi muda dapat diberi ruang sekali gus menjadi pengundi dan bersama menangani masalah sosial antaranya masalah penangihan dadah," katanya pada sidang media selepas perjumpaan bersama Penghulu dan Penyampaian Watikah Perlantikan Ketua Kampung Parlimen Lumut di Dewan UMNO Bahagian Lumut, di sini, hari ini.

Pada majlis itu seramai 29 ketua kampung menerima watikah pelantikan bagi sesi 2016/2018.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang Datuk Rashidi Ibrahim, Pegawai Daerah Manjung Mohamad Fariz Mohamad Hanip, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung Azizan Abdul Muin dan Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 8:15 PM