MUSTAPA (empat dari kiri)   bersama penganjur WHW 2016.
MUSTAPA (empat dari kiri) bersama penganjur WHW 2016.
Oleh Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Malaysia berhasrat untuk terus meluaskan pasaran halal kepada negara di bawah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) termasuk Australia dan New Zealand memandangkan kedua-dua negara itu sedia maklum dengan agenda halal negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, negara juga melihat potensi pasaran di negara TPP lain seperti di Amerika Syarikat dan Kanada kerana populasi masyarakat Islam di negara terbabit juga sedang berkembang.

“Platform TPPA ini penting kepada negara dalam mengukuhkan lagi industri halal di dunia selari dengan imej negara yang dikenali sebagai peneraju kepada pengeluaran dan perdagangan halal di dunia,” katanya pada sidang media bersempena pelancaran Minggu Halal Dunia 2016 (WHW 2016) di sini, semalam.

WHW 2016 dianjurkan MITI di mana ia terbahagi kepada tiga komponen penting iaitu Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2016, Persidangan Halal Dunia (WHC) dan Konvensyen Badan Pensijilan Halal Antarabangsa Jakim 2016.

Beliau berkata, langkah untuk mempromosikan produk halal itu diharap membantu pengeksport tempatan mendapatkan akses pasaran lebih baik di sesetengah negara TPPA.

“Saya lihat usaha ini akan meningkatkan lagi peluang kepada golongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan negara untuk terus meluaskan pasaran pada masa depan,” katanya.

Ketika mengulas unjuran eksport halal negara, Mustapa berkata, pihaknya tidak menjangkakan pertumbuhan pesat pada setiap tahun namun akan berusaha mencapai prestasi terbaik dalam keadaan ekonomi tidak mementu pada masa ini.

“Kami menjangkakan pertumbuhan sederhana tahun ini sama seperti tahun sebelum ini di mana kami menetapkan eksport sebanyak RM42 bilion untuk tahun lalu dan RM38 bilion pada 2014,” katanya.

Pada masa sama, jualan Mihas 2016 dijangka berkembang secara sederhana antara dua hingga tiga peratus berbanding RM1.1 bilion yang dicatatkan pada tahun lalu.

Pertumbuhan itu akan disumbang melalui permintaan global terhadap produk halal ditambah kehadiran pelawat yang dijangka mampu mencecah sehingga 25,000 daripada 67 buah negara pada kali ini.

WHW 2016 akan bermula pada 28 Mac ini bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan tema Melangkaui Ekonomi di mana ia menunjukkan kesungguhan negara dalam mengenal pasti potensi industri halal yang belum diterokai melangkau nilai perdagangan dan komersial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 6:04 AM