MUSTAPA  (enam dari kiri) bersama tetamu kehormat menggaul yee sang pada Majlis Jaringan MITI & Agensi Bersama Sektor Swasta sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Menara MITI, semalam.
MUSTAPA (enam dari kiri) bersama tetamu kehormat menggaul yee sang pada Majlis Jaringan MITI & Agensi Bersama Sektor Swasta sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Menara MITI, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Keputusan akhir Malaysia berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan dimuktamadkan sempena mesyuarat perniagaan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang berlangsung di Vietnam, Mei depan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, 11 negara anggota TPPA akan mengambil keputusan jelas sama ada meneruskan atau membatalkan perjanjian itu berikutan sudah dan akan mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi membincangkan perkara itu.

Menurutnya, Malaysia dan 10 negara lain masih terbuka kepada sebarang cadangan atau kertas kerja kerana menganggap masih terlalu awal untuk membuat keputusan akhir.

“Dengan penarikan diri Amerika Syarikat (AS), kita melihat hubungan dagangan dua hala adalah pilihan terbaik yang boleh diteruskan jika TPPA dibatalkan secara mutlak terutama dengan negara yang belum memiliki hubungan perdagangan dengan Malaysia seperti Kanada, Mexico dan Peru,” katanya.

Sebelum itu, beliau menghadiri Majlis Jaringan Kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Bersama Sektor Swasta sempena sambutan Tahun Baru Cina, di sini, semalam.

Rundingan TPPA bermula sejak 2010 membabitkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS dan Vietnam namun AS menarik diri daripada perjanjian itu apabila Donald Trump dilantik sebagai presiden negara itu, Januari lalu.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, pertumbuhan ekonomi 4.5 peratus yang dicatatkan Malaysia pada suku keempat 2016 dilihat agak memberangsangkan apabila eksport negara meningkat pada November dan Disember terutama dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Menurutnya, peningkatan pelaburan swasta yang mencatatkan 4.9 peratus juga dilihat satu pencapaian yang baik meskipun momentumnya agak perlahan berbanding tiga hingga empat tahun lalu.

“Kami akan memastikan Malaysia terus mampu menarik pelaburan asing dan pada masa sama, meningkatkan usaha untuk menggalakkan pelaburan domestik dengan mengadakan perjumpaan dengan tokoh pelaburan tempatan terutama melalui dua agensi kami iaitu Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 3:38 AM