Kuala Lumpur: Harapan penembak negara Nur Ayuni Farhana Abdul Halim (gambar) melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Rio dalam acara 10 Air Rifle individu wanita tidak kesampaian apabila gagal mara ke final Kejohanan Menembak Kelayakan Olimpik Asia yang berlangsung di New Delhi semalam.

Ayuni menamatkan saingan di tempat kesembilan dengan hanya lapan penembak terbaik mara ke pusingan akhir.

Ayuni merekodkan 414.7 mata dalam acara dimenangi penembak Iran Najmeh Khedmati dengan 205.9 mata, penembak tuan rumah Ayonika Paul kedua juga mengumpul 205.9 dan Rooja Ghatkar dari India ketiga, 184.5 mata.

Sementara itu dua wakil negara Haslisa Hamed dan Muslifah Zulkifli terpaksa berpuas hati di tempat ke-30 dan dan 49 apabila masing-masing merekodkan 410.7 mata dan 402.5 mata.

Bagi Ayuni, dia sudah mencuba yang terbaik dan ingin menembus kegagalan itu menerusi acara 50m rifle 3 posisi yang akan berlangsung esok.

Sebanyak 538 peserta dari 30 negara bersaing dalam cabaran seminggu itu yang menawarkan 35 slot ke Sukan Olimpik 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2016 @ 5:03 AM