TAMAN Rimba Herba Perlis tawar pelbagai tarikan menarik.
TAMAN Rimba Herba Perlis tawar pelbagai tarikan menarik.
PELBAGAI jenis herba yang ditanam di taman seluas 12 hektar.
PELBAGAI jenis herba yang ditanam di taman seluas 12 hektar.
PENGUNJUNG dapat melihat pelbagai spesies ular di Taman Ular dan Reptilia Perlis.
PENGUNJUNG dapat melihat pelbagai spesies ular di Taman Ular dan Reptilia Perlis.
PENULIS mencium seekor ular sawa di Taman Ular.
PENULIS mencium seekor ular sawa di Taman Ular.
Oleh Suliati Asri


Aksi bersahaja Muhammad Hafiz Alias, 26, mencium ular tedung selar berbisa cukup menggerunkan. Mana tidaknya, dengan saiz ular yang panjang dan agresif, terbayang pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Namun, kelincahan dan kebolehan Hafiz yang dikenali sebagai penjinak ular sesuatu yang cukup membanggakan.

Usai persembahan mencium ular tedung selar oleh Hafiz, melihat bagaimana bisa ular dikeluarkan juga membuatkan pengunjung berjaga-jaga.

Itulah pengalaman menarik menanti pengunjung Taman Ular dan Reptilia, Sungai Batu Pahat, Perlis. Berkeluasan 17 ekar dan dikelilingi Hutan Simpan Bukit Bintang, dulunya taman ini dikenali sebagai taman penyelidikan untuk menghasilkan penawar terbaik kesan daripada patukan ular.

Namun, sejak 1995, ia dijadikan destinasi pelancongan dan menjadi taman ular terbesar di Malaysia.

Taman Ular dan Reptilia menghimpunkan kira-kira 120 ekor ular berbisa dan tidak berbisa dari dalam dan luar negara.

Daripada takut menjadi sayang, taman ular ini mesra pengunjung. Selain dapat melihat dan meĀ­ngenali pelbagai spesies reptilia ini, pengunjung juga berpeluang bergambar dan bermesra dengan ular selain melihat pertunjukan yang cukup mengujakan.

Pengunjung juga berpeluang melihat pelbagai haiwan lain seperti buaya, burung unta, pelbagai jenis ayam dan banyak lagi.

Dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 6 petang dengan bayaran RM5 untuk dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak, kunjungan ke taman ini pasti tidak mengecewakan.

Tidak jauh dari Taman Ular dan Reptilia Perlis, kehijauan dan kepelbagaian jenis herba di Taman Rimba Herba Perlis cukup mengujakan.

Berkeluasan 12 hektar, taman yang dibuka kepada kunjungan umum sekitar tahun 1999 ini ibarat muzium hidup yang menjadi rumah kepada pelbagai jenis tumbuhan herba yang sangat bagus untuk perubatan tradisional.

Sebahagian daripada Hutan Simpan Bukit Bintang, kawasan seluas 12 hektar ini dipenuhi dengan beberapa jenis tumbuhan herba dan disebabkan itu ia dijadikan Taman Rimba Herba Perlis.

Menempatkan lebih 1,000 jenis herba, kunjungan ke sini ibarat membawa pengunjung berjalan mengelilingi taman yang dipenuhi kehijauan dan kepelbagaian tanaman herba.

Menariknya, selain herba yang sudah biasa didengar seperti misai kucing, belalai gajah, kacip fatimah dan tongkat ali, pokok herba unik dinamakan sehelai setahun yang hanya terdapat di Perlis pastinya menjadi perhatian.

Herba derhaka mentua atau akar seratus yang berfungsi untuk melancarkan perjalanan darah dan bedil lalat juga boleh didapati di sini.

Dengan landskap yang menarik, taman herba ini cukup mendamaikan.

Dikelilingi kehijauan pokok hutan yang meninggi, perasaan tenang menyelubungi pengunjung yang datang.

Selesai meneroka keindahan alam semula jadi dan mengenali pelbagai jenis herba, aktiviti merendam kaki dalam minyak herba pengalaman menarik terbaru di sini.

Pengunjung juga dihidangkan air herba secara percuma bagi mengembalikan kesegaran selepas meneroka taman ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 10:15 AM