FAHMI Fadzil ketika hadir ke sidang media selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
FAHMI Fadzil ketika hadir ke sidang media selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengecam tindakan syarikat Meta Platforms Inc (Meta) yang menurunkan laporan berita berkaitan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin Hamas di platform media sosial milik mereka.

Beliau menegaskan, tindakan syarikat terbabit jelas melanggar hak kebebasan media di negara ini.

Katanya, beliau sendiri akan menghantar surat kepada Meta bagi menuntut penjelasan berhubung perkara itu.

"Dalam pertemuan Perdana Menteri bersama pimpinan sayap politik Hamas baru-baru ini, terdapat tiga (organisasi) media maklumkan kepada pejabat saya bahawa posting mereka khususnya dalam Meta diturunkan.

"Saya kecam tindakan Meta menurunkan artikel atau posting daripada media apatah lagi kerana ini adalah pelaporan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Qatar dan pertemuan dengan sayap politik sebuah organisasi, bukan sayap militan atau ketenteraan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, hari ini.

Perdana Menteri semalam mengambil kesempatan lawatan rasmi beliau ke Qatar untuk bertemu Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.

Pertemuan tertutup empat mata antara dua pemimpin itu berlangsung di sebuah hotel di Doha, pagi semalam dengan antara inti pati pertemuan sudah tentu untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai konflik di Asia Barat, khususnya membabitkan Hamas dan Israel di Palestin.

Fahmi berkata, syarikat media tempatan memaklumkan hantaran dalam media sosial mereka diturunkan atas alasan kononnya berkongsi atau menghantar simbol, pujian atau sokongan kepada individu dan organisasi yang ditakrifkan Meta sebagai berbahaya.

Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah menghantar surat kepada Meta bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

"Sebelum ini sewaktu kita anjurkan acara di Stadium Axiata Arena (Program Setahun Bersama Kerajaan Madani), pernah ada 'posting' berkait ucapan Perdana Menteri pada waktu itu dalam beberapa platform media sosial seperti Instagram diturunkan.

"Bagaimanapun selepas kita menghantar protes (kepada Meta), dikembalikan (hantaran), jadi saya akan susuli (dengan surat penjelasan)," katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, beliau akan membangkitkan isu terbabit dalam pertemuannya bersama semua platform media sosial bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2024 @ 4:26 PM