Dziyaul Afnan Abdul Rahman


‘RAJA Ular Perlis’ yang juga kakitangan Taman Ular dan Reptilia Batu Pahat, Kangar, dipatuk ular jenis tedung selar ketika memberi makan kepada reptilia itu di tempat kerjanya petang semalam.

Muhammad Hafiz Alias, 26, diserang reptilia berbisa itu di bahagian atas lutut kiri dan kini sedang menerima rawatan di Unit Pemerhatian Rapi dan Kecemasan (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Pemangku Pengurus Taman Ular dan Reptilia Batu Pahat, Ariffin Baharom berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu melalui kakitangannya sejurus Muhammad Hafiz diserang ular.

“Saya masih menunggu laporan penuh mengenai kemalangan ini dan difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 3.30 petang ketika dia masuk ke sangkar untuk memberi makan kepada ular mengikut jadual.

“Sejurus dipatuk, dia memaklumkan kepada rakan sekerjanya sebelum dihantar ke HTF petang semalam dengan menaiki kenderaan syarikat.

“Sejurus sampai di unit kecemasan, dia pengsan dan tidak sedarkan diri sehingga dimasukkan ke dalam wad,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ariffin berkata, beliau sudah melawat kakitangannya itu sejak malam tadi dan perkembangan Muhammad Hafiz dilihat semakin positif.

“Semalam dia tidak bergerak langsung sejurus pengsan, namun hari ini dia ada menunjukkan sedikit pergerakan dan berharap dia cepat sembuh.

“Kejadian ini adalah kejadian kali kedua menimpa Muhammad Hafiz dan saya menyarankan pihak di luar sana tidak terlalu ghairah bermain dengan ular sekiranya tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai reptilia ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 2:00 PM