Oleh Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Orang ramai terutama ibu bapa berharap supaya pengubahsuaian Bajet 2016 yang akan dibentangkan tengah hari ini lebih menjamin kesejahteraan rakyat berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Peniaga, Osman Kassim, 56, berkata, kerajaan perlu fokus kepada rakyat yang miskin dan sederhana jika benar-benar mahu membantu rakyat.

"Kalau boleh pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) perlu dikaji semula kerana rakyat miskin lebih terkesan.

"Cukai itu sepatutnya hanya dikenakan kepada golongan berpendapatan tinggi dan rakyat berpendapatan RM3,000 ke bawah perlu dikecualikan,” katanya.

Dia juga mahu Projek Perumahan Rakyat (PPR) ditambah dan pembinaan rumah kos tinggi perlu dikurangkan.

Bagi orang kurang upaya (OKU) Azman Hassan, 49, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada golongan bawahan untuk mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup.

"Jika dilihat dari segi perbelanjaan seperti kos persekolahan anak-anak, ia semakin meningkat sedangkan pendapatan rakyat tiada peningkatan.

"Dari segi kemudahan OKU, banyak inisiatif dilakukan, cuma penambahbaikan mungkin dari segi kenaikan elaun bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Kemudahan asas di bangunan kerajaan juga semakin mesra OKU dan tidak menjadi masalah kepada saya," katanya yang juga atlet paralimpik negara dalam acara tenis berkerusi roda.

Tukang jahit, Norita Lamsah, 45, turut berpendapat bahawa kerajaan perlu mengenal pasti mekanisme yang boleh mengurangkan bebanan rakyat berikutan kenaikan harga barang.

"Harga sayuran seperti timun, cili kering, ikan bilis dan bawang semua naik. Dulu satu kilogram boleh dapat RM2.50, tetapi sekarang RM3.50. Sekarang nak pusing modal pun dah tak boleh," katanya yang turut menjalankan perniagaan makanan secara kecil-kecilan.

Pembantu tadika, Maria Mat Dali, 46 sependapat dengan Norita.

"Harga barang sekarang mahal, harga cendol pun sudah RM2 jadi memang rasa terbeban. Dulu kalau pergi kedai RM10 boleh beli macam-macam. Sekarang ini RM50 habis macam itu saja.

"Persekolahan anak-anak setakat ini tiada masalah sebab saya dapat bantuan Baitulmal, cuma masalah sekarang kenaikan tambang bas sekolah. Dekat pun dah RM35. Sebelum ini RM30,"

Sementara itu, mahasiswa mahukan sektor pendidikan diutamakan berbanding sektor-sektor lain.

"Kerajaan perlu memperkenalkan lebih banyak program untuk membolehkan mahasiswa berdikari seperti bidang keusahawanan," kata Muhammad Mutalib Nordin, 22, penuntut universiti awam.

Rakannya Nabila Zainal Arif, 22, pula berkata,pendidikan mampu menjadi pemangkin kepada ekonomi negara yang lebih mapan pada masa hadapan.

"Kebanyakan negara-negara maju, mereka akan mengutamakan sektor pendidikan lebih awal daripada sektor lain.

"Dalam situasi ekonomi yang kurang baik, kerajaan patut kurangkan perbelanjaan pada sektor-sektor lain.

"Sektor lain itu bukan tidak bagus tetapi sektor pendidikan perlu didahulukan kerana ia sektor utama dalam pembentukan sesebuah negara," katanya.

Norasmimi Shahira Mohd Asri, 22, pula mahu perlaksanaan cukai seperti GST dikecualikan kepada golongan mahasiswa.

"Kami tidak mempunyai pendapatan, tetapi turut terkesan dengan pelaksanaan GST yang menyebabkan peningkatan harga barang.

"Jika perkara seperti itu boleh dipertimbangkan, ia mampu mengurangkan beban mahasiswa yang sering kekurangan wang belanja sepanjang pengajian," katanya.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak, dijadual membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 tengah hari ini yang mengambil kira senario ekonomi semasa agar lebih realistik dengan persekitaran 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 1:22 AM